Gema Semua Maklumat

19 rancangan keganasan di Malaysia berjaya digagalkan

19 rancangan keganasan di Malaysia berjaya digagalkan

PUTRAJAYA, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Polis Malaysia dan agensi penguatkuasaan yang lain telah menggagalkan sebanyak 19 rancangan keganasan di negara ini antara 2013 dan 2017, demikian didedahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini.

Bagi tempoh sama, beliau berkata, sebanyak 369 suspek militan Daesh termasuk 87 warga asing telah ditahan.

Nur Jazlan berkata, serangan grenad di kelab malam Movida di Puchong pada Jun 2016 dianggap sebagai serangan berkaitan Daesh yang pertama di Malaysia, yang merupakan peringatan terhadap realiti keganasan moden itu.

“Syukur ia tidak melibatkan kematian dan pelakunya telah ditahan dan dihukum penjara.

“Konflik yang berlaku beribu batu jauhnya telah mendatangkan masalah yang besar dan nyata terhadap keselamatan di tanah air kita,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini.

Nur Jazlan berkata, masanya sudah tiba untuk komuniti antarabangsa menyemak semula pendekatan sedia ada untuk memerangi keganasan.

“Daripada mengambil tindakan reaktif, adalah lebih bijak untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan bibit-bibit ekstremisme dihapuskan,” katanya dan menurutnya Malaysia telah mengilhamkan idea yang menawarkan pendekatan kesederhanaan dalam tafsiran agama khususnya bagi menangani Daesh.

“Pendekatan secara keras, yang mungkin dilihat efektif untuk jangka masa pendek, tidak dapat menangani punca isu keganasan, sepertimana perang terhadap penjenayah dan pengganas kerana ini lebih kepada hati dan minda, perang terhadap perbezaan ideologi-ideologi,” katanya.

Nur Jazlan berkata, kaunseling dan pendidikan semula serta pembabitan pemimpin agama dan pakar dalam membetulkan dan menangani pandangan salah tentang Islam dengan pesalah keganasan, merupakan kaedah efektif dalam proses meradikalisasikan mereka.

“Ia juga bagi mengubah bekas pesalah untuk menjadi pihak penting dalam menangani propaganda dan ideologi Daesh,” katanya.

Sementara itu, Mehmet Mehdi Eker, wakil presiden Turki, dalam kenyataan negaranya, berkata keganasan hanya boleh ditangani menerusi kerjasama antarabangsa secara efektif.

Beliau berkata Turki percaya pendekatan secara kolektif dalam menangani ancaman terhadap keselamatan global dapat menyumbang terhadap usaha antarabangsa dalam memerangi keganasan.

“Hanya tindakan bersama dan kesepaduan boleh menjamin dunia yang lebih selamat dan aman,” katanya.

Mehmet turut merakamkan penghargaan negaranya kepada Malaysia atas kerjasama dalam mengekang kegiatan pertubuhan pengganas Fethullah Terrorist Organisation (FETO) di Malaysia. – Agensi

The post 19 rancangan keganasan di Malaysia berjaya digagalkan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di 19 rancangan keganasan di Malaysia berjaya digagalkan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "19 rancangan keganasan di Malaysia berjaya digagalkan"

Back To Top