PUTRAJAYA, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan perunding wanita yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung projek tiga lebuh raya dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Majistret Nik Muhammad Azrin Hafiz Nik Mahmood memerintahkan wanita berusia 50 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM208,000 dengan seorang penjamin.
Wanita itu yang merupakan perunding kanan sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek terowong dasar laut di Pulau Pinang tersebut ditahan pada 23 Januari lalu ketika hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan direman selama lima hari bermula 24 Januari.
Media yang memetik sumber SPRM melaporkan, wanita itu dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri.
Wanita itu antara empat individu yang ditahan reman oleh SPRM setakat ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Isnin lepas dilaporkan berkata, SPRM telah merakam percakapan 76 saksi.
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction yang merangkumi beberapa syarikat.
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Bernama
The post Isu terowong Pulau Pinang: Perunding wanita bebas reman appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Isu terowong Pulau Pinang: Perunding wanita bebas reman
0 Komentar untuk "Isu terowong Pulau Pinang: Perunding wanita bebas reman"