Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Mana-mana pihak yang berhasrat meneruskan kempen #UndiRosak dinasihatkan supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Menyelar kempen tersebut, penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid menyifatkan usaha segelintir pihak itu sebagai tidak demokratik.
Beliau berkata, sekiranya kempen berkenaan dilakukan hanya sekadar protes kepada parti politik sedia ada, maka kumpulan terbabit disaran untuk meletakkan calon yang dirasakan layak bertanding pada PRU14.
Jelas beliau, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kempen atau saranan untuk merosakkan undi sepatutnya tidak berlaku.
“Kalau sengaja buat satu kempen supaya berlaku undi rosak sebagai protes kepada mana-mana parti, maksudnya kita tiada pendirian politik.
“Kita mempunyai tiga blok, Gagasan Sejahtera, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN). Maka, fahamlah di mana kedudukan sebenar pendirian kita. Sepatutnya kita perlu ada pendirian mana satu yang baik dan lebih baik.
“Tetapi jika ada hasrat nak rosakkan undi, lebih baik duduk di rumah tak perlu membazir mengundi. Biarlah peratus mengundi rendah daripada hadir semata-mata untuk merosakkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kempen #UndiRosak yang sebelum ini tular di laman sosial, dengan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.
Tanpa sebarang organisasi dan ketua, kempen itu dipercayai digerakkan anak muda yang kecewa dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Mengulas lanjut, Dr Mat Yazid berkata, beliau percaya kempen berkenaan tidak memberikan kesan meluas kepada masyarakat sehingga menjejaskan proses demokrasi.
“Saya percaya rakyat Malaysia boleh berfikir dan bertindak dengan rasional. Saya harap gerakan seperti ini berhenti melakukan kempen yang dianggap tidak bermoral dan tidak bijak.
“Daripada melancarkan kempen rosak undi, lebih baik lancarkan kempen yang menjelaskan mengenai keadaan atau memberi saranan terhadap mana-mana parti yang dirasakan layak mentadbir. Itu lebih bersih dan positif,” katanya.
Ditanya jangkaan tarikh PRU14, beliau menjangkakan ia semakin hampir dan tidak menolak kemungkinan pada akhir April atau sebelum bulan Ramadan.
“Saya rasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memilih tarikh bijak yang dirasakannya boleh menang,” katanya.
The post ‘Baik duduk di rumah daripada keluar rosakkan undi’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di ‘Baik duduk di rumah daripada keluar rosakkan undi’
0 Komentar untuk "‘Baik duduk di rumah daripada keluar rosakkan undi’"