Gema Semua Maklumat

Larangan bertudung: UNI-MLC beri amaran dedah nama hotel jika tak hadir MoU

Larangan bertudung: UNI-MLC beri amaran dedah nama hotel jika tak hadir MoU

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Jamadilawal 1439H, Selasa – Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memberi amaran akan mendedahkan nama hotel yang melaksanakan larangan pekerja wanita Islam bertudung kepada umum, jika gagal hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) nanti.

Presidennya, Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya tidak teragak-agak mendedahkan nama hotel mewah yang terlibat melaksana prosedur operasi standard (SOP) itu, sekiranya tidak menghadirkan diri pada majlis MoU yang dijangka tidak lama lagi.

Beliau berkata, setakat ini, UNI-MLC tidak berhasrat untuk mendedahkan senarai 28 hotel mewah, termasuk 13 di Semenanjung yang telah bersetuju menarik balik SOP itu, sebaliknya hanya akan diketahui pada majlis nanti.

“Senarai 13 hotel terbabit akan didedahkan dalam satu MoU di antara pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Kita menjangkakan majlis memeterai MoU itu akan diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum cuti Tahun Baru Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Majlis yang akan dipengerusikan Kementerian Sumber Manusia itu, dijangka turut melibatkan beberapa lagi hotel bertaraf antarabangsa yang tidak berada di bawah gabungan MAH.

“Selain hotel-hotel di bawah MAH, kita turut memanggil beberapa lagi hotel mewah yang tidak berada dalam gabungan itu. Dan itu adalah sasaran kita.

“Jika hotel yang terlibat laksana peraturan itu tidak hadir, maka kita akan dedahkan nama mereka dalam majlis itu nanti,” katanya.

Mohammed Shafie berkata, menerusi MoU itu, pihak hotel dilarang mengenakan sebarang peraturan yang tidak membenarkan pekerja wanita Islam bertudung.

“Selain itu, pihak hotel juga tidak boleh mempraktikkan diskriminasi dalam SOP mereka,” katanya namun enggan mengulas lanjut berhubung MoU tersebut.

Isu larangan bertudung pekerja wanita di hotel mewah menjadi perhatian banyak pihak sejak beberapa bulan lalu, termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Larangan tudung ini, dilaporkan bukan hanya untuk kakitangan barisan hadapan, tetapi turut melibatkan semua jabatan.

The post Larangan bertudung: UNI-MLC beri amaran dedah nama hotel jika tak hadir MoU appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Larangan bertudung: UNI-MLC beri amaran dedah nama hotel jika tak hadir MoU
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Larangan bertudung: UNI-MLC beri amaran dedah nama hotel jika tak hadir MoU"

Back To Top