Gema Semua Maklumat

‘Pok Ya Cong Codei’ dan refleksi jati diri orang Melayu

‘Pok Ya Cong Codei’ dan refleksi jati diri orang Melayu

TELEFILEM ‘Pok Ya Cong Codei’ (2018) adalah antara produk media Melayu yang bernas pernah saya tonton (saya tidak banyak menonton filem Melayu selain filem klasik). Kebernasannya terletak pada pemerian watak Pok Ya sendiri yang saya kira merupakan tulang belakang kepada telefilem tersebut.

Saya lihat di media sosial, watak Pok Ya menjadi tular dan bahan bualan di kalangan penontonnya (orang Melayu). Tema utama yang dibincangkan ialah bagaimana sikap ‘gedebe’ tidak bererti seseorang itu jahat, seperti yang cuba digambarkan oleh watak Pok Ya. 

Ada banyak juga filem Melayu yang membawakan watak samseng atau gangster tetapi saya tidak perasan sebarang watak spesifik yang menjadi bahan bicara seperti watak Pok Ya. Seolah-olah watak Pok Ya telah menghidupkan perhatian orang Melayu kepada sesuatu yang sebenarnya serasi dengan pandangan alam orang Melayu khususnya dalam kehidupan bermasyarakat.

 Saya berpandangan bahawa watak Pok Ya berjaya digambarkan oleh Sabri Yunus menurut acuan dan cara fikir orang Melayu yang masih utuh sikap dalaman atau jati dirinya. ‘Gedebe’ atau ‘samseng’ yang dipaparkan oleh Pok Ya menjasadkan sikap-sikap seperti tegas, berani, dominan, tetap pendirian, mampu mempengaruhi, tinggi daya kepimpinan, dan berkeyakinan. Kesemua ini dizahirkan secara positif apabila Pok Ya dengan sikapnya itu berjaya memimpin orang, menggerakkan tindakan, membantu manusia, dan menegakkan keadilan dengan cara yang tersendiri.

Paparan begini sudah jarang ditemui, difahami, atau dihayati dalam kehidupan orang Melayu di Malaysia. Barangkali disebabkan oleh normalisasi pemikiran masyarakat majmuk yang harus tertegak atas toleransi luar biasa terhadap masyarakat lain, atau mungkin juga atas ketiadaan watak model di kalangan pemimpin Melayu (yang rata-rata memilih watak dan pendekatan klise seperti mengalah dalam rundingan, berlebih-lebih mengambil hati lawan, dan tidak tetap pendirian bila dilabel atau diserang musuh), orang Melayu khususnya yang hidup di bandar kini menganggap watak seperti ‘Pok Ya’ sebagai asing, negatif, dan adakalanya dituduh sebagai ekstrem.

Walhal melalui penelitian sejarah kita dapati watak dan sikap Pok Ya (yang utama, yang saya perikan di atas) adalah watak dan sikap kebanyakan orang Melayu khususnya saat berdepan dengan situasi di mana mereka perlu memperjuangkan hak dan kepercayaan mereka. Samada dalam kes berhadapan dengan penjajah (secara konfrontasi dan perang), atau dalam berunding dengan orang lain secara aman, kita mendapati jiwa orang Melayu adalah jiwa yang dominan bukan menurut, kuat bukan menikus, serta teguh bukan mudah dibengkok, seumpama pohon Jati (yang mungkin menjadi sebab mengapa jiwa dan sikap dalaman digelar oleh orang Melayu sebagai ‘jati diri’).

Saya tidak hairan mengapa orang Melayu asalnya boleh berjiwa sedemikian rupa. Ia sebenarnya adalah refleksi kepada ciri-ciri utama Islam khasnya dalam soal bermasyarakat dan bernegara. Islam apabila muncul dalam masyarakat dan negara, ia bersifat dominan, kuat, berpengaruh, dan teguh. Melalui ciri-ciri ini Islam berjaya menegakkan keadilan sosial yang autentik serta memancarkan gelombang ‘kerahmatan’ yang sebenar yang terkandung dalam ajaran Islam.

Sejarah Islam menyaksikan bahawa apabila pemerintahan Islam kuat dan dominan, ramai orang bukan Islam tertarik kepada ‘magnet’ kuat yang terletak pada Islam, lalu masuk Islam beramai-ramai, berbanding di saat pemerintahan Islam lemah (atau pemimpinnya lemah/kelihatan lemah), orang bukan Islam hilang sebab dan keyakinan untuk bersama dengan Islam.

Ciri-ciri ini digambarkan oleh ulama’ terdahulu dengan istilah-istilah seperti “syaukah” (kuasa wewenang), “quwwah” (kekuatan), “isti’la'” (ketinggian/superiority), “haymanah” (dominasi/hegemoni) dan lain-lain apabila mereka berbahas tentang politik Islam. Kesemua ini terkandung dalam tasawwur dan cara fikir mana-mana bangsa yang memimpin dengan Islam termasuklah bangsa Melayu yang memimpin Alam Melayu. Sikap politik ini kemudiannya menjadi sikap peribadi orang Melayu dalam memimpin keluarga dan masyarakat mereka di bandar dan kampung.

Semenjak pemimpin Melayu tunduk kepada penjajah British, arus cara fikir Barat yang merupakan anti-tesis kepada ciri-ciri tersebut masuk ke dalam institusi kemasyarakatan orang Melayu dari peringkat negara hingga ke peringkat keluarga. Perlahan-lahan orang Melayu hilang sikap ‘gedebe terpuji’ yang merupakan sikap kemuliaan orang Melayu zaman-berzaman.

Hari ini, orang Melayu rata-rata menganggap dengan menjadi baik hati (dengan erti lurus dan lemah) adalah cara yang paling betul dalam mengembalikan kemuliaan Islam. Mereka lupa sikap Ribie bin Amir yang ‘gedebe’ berbicara di hadapan Rustum, ‘gedebe’ Salahuddin Al-Ayyubi yang berdepan dengan tentera Salib, serta ‘gedebe’ pejuang-pejuang orang Melayu yang berdepan dengan British serta tali barut mereka.

Watak Pok Ya adalah watak filem Melayu yang berjaya membuatkan saya berfikir panjang setelah menontonnya. Saya tidak pasti adakah Sabri Yunus berniat menghidupkan watak ini untuk orang Melayu-Islam kembali menyalakan bara jatidiri yang terpadam ataupun tidak, tetapi saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan saya berharap watak ini masuk ke dalam jiwa orang Melayu (baik orang Kelantan mahupun orang negeri lain) sehingga jiwa orang Melayu terjentik mencari semula jati diri mereka yang telah hilang.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

The post ‘Pok Ya Cong Codei’ dan refleksi jati diri orang Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di ‘Pok Ya Cong Codei’ dan refleksi jati diri orang Melayu
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "‘Pok Ya Cong Codei’ dan refleksi jati diri orang Melayu"

Back To Top