Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Sekolah satu aliran mesti diwujudkan bagi mengembalikan pendidikan negara sebagai platform integrasi dan perpaduan nasional, selain menjadi asas penting menyatupadukan rakyat.
Ahli Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, sekolah jenis ini juga dapat memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Sejak dari sekolah rendah kita letakkan rakyat pada satu tempat, tak kira bangsa tak kira agama,” katanya berucap pada Konvensyen Kebangkitan Ummah di Dewan Muktamar Pusat Islam, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan adanya sekolah satu aliran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, maka ianya akan selari dengan Perlembagaan dan pembinaan jati diri.
Selain itu, Datuk Raof turut menyeru agar program dwi bahasa – Dual Language Programme (DLP) – dimansuhkan.
“Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah membuktikan bagaimana ia telah membunuh orang Melayu dan menyebabkan malapetaka.
“Akibat dari PPSMI, pada 2015 matlamat mahu mencapai 60 peratus pelajar Aliran Sains dan Teknologi, 40 peratus Aliran Sastera yang mula dilaksanakan oleh KPM mulai 2001 ini bukan sahaja gagal dicapai, malah bertambah merundum kepada 28 peratus sahaja.
“Sekiranya DLP diteruskan, Malaysia akan menghadapi krisis ketandusan siswazah Sains dan Teknikal untuk menampung keperluan negara,” katanya.
Justeru, kerajaan perlu meneliti adakah DLP memberi kebaikan atau sebaliknya mengulangi semula kegagalan PPSMI.
“Kerana kita nak pastikan bahawa orang Melayu tidak seperti hari ini dalam pendidikan, dalam jawatan perkhidmatan awan dalam menguasai bidang profesional kritikal dimana kita jauh di belakang. Terlalu jauh selepas kita merdeka.
“Kembalikan pengajaran ke bahasa Melayu semula dan guna kaedah lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris,” tegasnya.
Gerakan Pembela Ummah digerakkan oleh lebih 100 NGO Islam yang memberi fokus kepada menyatupadukan umat Islam dan menjadi suara pendesak, mengukuhkan kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dominasi dan kekuatan umat Islam di dalam politik, mendesak dan memastikan pemerintah menerapkan nilai Islam dan memperjuang pemerkasaan institusi Islam negara.
Antara gabungan NGO Islam dalam UMMAH adalah Kongress Rakyat, Pembela, Gabungan AMIN, PINTA, Ummat RUU355, Isma, PPIM dan lain lain.
The post ‘Wujudkan sekolah satu aliran sahaja’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di ‘Wujudkan sekolah satu aliran sahaja’
0 Komentar untuk "‘Wujudkan sekolah satu aliran sahaja’"