Gema Semua Maklumat

Amnesty kecam rejim Mesir

Amnesty kecam rejim Mesir

KAHERAH, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Amnesty International mengutuk apa yang diistilahkan sebagai krisis hak asasi manusia Mesir selepas tindakan keras terhadap masyarakat awam semakin meningkat sejak 2017.

Pertubuhan itu dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Abdel Fattah Al-Sisi sejak setahun lalu, termasuk melakukan ratusan tangkapan sewenang-wenangnya, mengenakan sekatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perbicaraan besar-besaran yang tidak adil yang menyaksikan puluhan tertuduh dijatuhi hukuman mati.

Undang-undang baharu berkenaan NGO, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menolak atau membatalkan pendaftarannya, menjadi bahan kritikan utama kerana menyekat kebebasan bersuara.

Amnesty juga mendapati kerajaan rejim Mesir menyekat 434 laman web sejak Mei tahun lalu, dan menangkap sekurang-kurangnya 240 aktivis politik antara April dan September 2017 kerana memuat naik tulisan yang dianggap menghina Al-Sisi.

Laporan itu turut mengutuk penangkapan besar-besaran sesiapa sahaja yang disyaki mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, selain melakukan penderaan secara sistematik terhadap majoriti yang ditangkap.

Amnesty juga berkata, ratusan perbicaraan tidak adil, termasuk terhadap 442 individu yang dihukum pada September tahun lalu kerana mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di Masjid Al-Fateh pada 2013.

Kebanyakannya dihukum mati, dengan 15 lelaki digantung pada 26 Disember selepas didapati bersalah dalam pembunuhan sembilan anggota tentera pada 2013.

Laporan itu turut menyebut, hak asasi wanita dan gadis juga tidak mencukupi, dengan ramai yang berdepan keganasan seksual dan gender.

Dalam kes tertentu, pegawai kerajaan didapati menyalahkan mangsa, termasuk kenyataan oleh pihak berkuasa wilayah Al-Sharkia selepas seorang pelajar wanita diserang pada Mac 2017. Kenyataan itu menyatakan mangsa memakai skirt pendek menyebabkan dia terdedah kepada serangan.

Amnesty juga mengutuk tindakan rejim Al-Sisi kerana menangkap dan membicarakan puluhan pekerja kerana mengambil bahagian dalam kesatuan sekerja. – Agensi

The post Amnesty kecam rejim Mesir appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Amnesty kecam rejim Mesir
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Amnesty kecam rejim Mesir"

Back To Top