Gema Semua Maklumat

Contohi sifat anjing bukan jadi anjing suruhan ultra kiasu

Contohi sifat anjing bukan jadi anjing suruhan ultra kiasu

SEMPENA Tahun Baharu Cina tahun ini, yang jatuh pada tahun anjing, saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada yang menyambutnya. Kepada yang tidak menyambutnya, maka contohilah sifat anjing sebagaimana yang disarankan oleh Hasan al-Basri r.a., bukannya menjadi anjing suruhan ultra kiasu. Terdapat perbezaan di situ, antara anjing dan anjing suruhan.

Seluruh alam dan seisinya adalah ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala. Kita tidak boleh memandang hina kepada segala ciptaanNya, termasuk anjing. Anjing adalah sejenis haiwan yang mempunyai banyak kelebihan berbanding haiwan lain. Anjing mempunyai deria bau yang sangat hebat. Tanpa anjing, haru-biru negara, sukar bagi pasukan penyelamat untuk membanteras jenayah.

Justeru, janganlah kita memandang jijik kepada makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala, meskipun kita diharamkan untuk memakan dan menternaknya kerana setiap ciptaan itu ada tujuannya. Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, hatta babi sekalipun. Amat hinalah seseorang manusia itu apabila menyamakan manusia dengan anjing atau babi seperti yang dilakukan oleh segelintir pemimpin yang tidak sedar diri.

Hanya kerana PAS tidak menggunakan akronim Amanah merujuk kepada Parti Amanah Negara, tetapi dengan singkatan PAN, maka PAS dibabikan oleh segelintir pemimpin PAN. Hina sungguh mereka ini, sanggup membabikan saudara seagama semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

Lebih malang lagi, PAN sebelum ini adalah kumpulan serpihan PAS. Setidak-tidaknya hormati sesama saudara seIslam, tetapi keadaan ini tidak berlaku. Adanya pemimpin PAN hari ini yang bergelar wakil rakyat, bermula dengan PAS. Jika tidak ada PAS, mana mungkin ada PAN.

Sempena Tahun Baharu Cina ini, tahun anjing, marilah kita bersama bermuhasabah dengan mengambil iktibar daripada sifat makhluk ini sebagaimana yang disaran oleh Hasan al-Basri r.a. Bukan menjadi anjing suruhan.

Sejak daripada kecil sebelum memeluk Islam, saya sentiasa bersama anjing kerana dipelihara oleh bapa bagi tujuan keselamatan. Justeru, apabila Hasan al-Basri meminta kita semua mencontohi 10 sifat anjing, menjadikan saya terfikir, kenapa sifat ini tidak dicontohi, tetapi yang wujud adalah anjing suruhan ultra kiasu.

Pertama, anjing sentiasa lapar, dan jarang makan sampai kenyang. Ini menyamai sifat orang soleh, jarang sekali memenuhkan perutnya sehingga kenyang. Lapar sentiasa akan mengingatkan kita kepada mereka yang tidak pernah cukup makanan. Pengajaran puasa begitu banyak hikmah terselindung.

Kedua, anjing tidak mempunyai tempat tinggal tetap, tetapi sentiasa berpindah daripada satu tempat ke satu tempat mengikut keperluannya. Sifat ini menyamai orang yang bertawakal kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Mereka yang bertawakal akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk menyampaikan risalah Islam dan sentiasa bertawakal

Ketiga, anjing tidak tidur pada waktu malam, melainkan sedikit sahaja. Sebab itu sentiasa kedengaran salakan anjing pada waktu malam kerana sentiasa berjaga. Hasan al-Basri mengkiaskan, sifat ini menyamai orang yang sangat cinta kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Merenggangkan punggungnya daripada tempat tidur, berjaga, bermunajat kepada Allah melalui amalan tahajud.

Keempat, jika mati, anjing tidak meninggalkan apa-apa yang perlu diwarisi dan tidak pula mewariskan. Sifat ini menyamai sifat manusia yang zuhud. Dalam maksud, manusia tidak sepatutnya mengaut segala kekayaan sehingga alpa kepada orang lain. Sifat zuhud amat penting supaya kita beringat bahawa harta ini milik Allah bukan milik kita.

Kelima, anjing sangat setia kepada tuannya. Ia tidak akan merajuk atau melarikan diri sekalipun dipukul atau dimarahi. Sifat ini menyamai murid atau pengikut yang siddiqin yang sentiasa mahu menuntut ilmu. Dia tidak akan berasa marah atau merajuk sekalipun dimarahi gurunya. Malangnya hari ini, ramai yang tidak setia, apabila dimarah, mereka merajuk dan menyimpan dendam kesumat.

Keenam, anjing suka tidur di atas tanah atau tidur tempat yang lebih rendah daripada tuannya. Sifat ini menyamai orang yang tawaduk dan merendah diri, tidak sombong. Sebagai pemimpin kita hendaklah sentiasa tawaduk dan merendah diri. Sifat ini akan menjadikan kita sentiasa dekat dengan Allah.

Ketujuh, jika tempat anjing diambil alih atau diletakkan sesuatu ditempatnya, anjing akan berpindah ke tempat lain dan tidak berasa marah atau berdendam. Sifat ini menyamai sifat hamba yang sentiasa reda dengan bahagiannya yang telah ditakdirkan. Malangnya, manusia hari ini penuh dengan dendam kesumat apabila tidak lagi bersama. Bila bercerai, semua buruk, tidak ada yang indah lagi.

Kelapan, jika anjing dipukul atau dihalau tuannya dengan benda yang menyakitkan, anjing akan menerimanya. Anjing tidak ada menggigit tuannya, seperti melepas anjing tersepit. Sifat ini menyamai sifat hamba yang kusyuk.

Kesembilan, jika melihat orang makan, anjing hanya melihat daripada jauh. Tidak meminta-minta atau mengganggu. Jika diberi, akan diambil, jika tidak, hanya melihat atau diam sahaja. Sifat ini menyamai manusia yang reda dengan pemberian Allah dan sentiasa bersyukur. Amat malang hari ini, kita bukan sahaja tidak diam, malah menyebarkan aib dan keburukan sesama saudara sendiri.

Kesepuluh, jika anjing berjalan atau berlari ke hadapan, ia tidak akan menoleh lagi ke belakang. Sifat ini menyamai sifat hamba yang tetap pendirian. Berani mendepani masa hadapan. Malangnya hari ini, kita tidak yakin dengan kekuatan sendiri, malah mencari musuh untuk membenamkan sesama saudara sendiri.

Setelah meneliti kesemua sifat anjing ini yang diceritakan oleh Hasan al-Basri r.a. saya amat yakin semua ini adalah untuk kita sebagai manusia mengambil iktibar. Saya dapat simpulkan bahawa kadang kala makhluk yang bergelar anjing lebih mulia daripada makhluk bergelar manusia.

Sudahlah hari ini, kita jauh daripada sifat anjing, lebih hina lagi kita menjadi anjing suruhan ultra kiasu. Kita menjadi manusia pengecut dalam berhadapan dengan musuh, terutama musuh-musuh Islam, malah menjadi anjing suruhannya.

Lebih hina lagi kita sanggup membabikan saudara seagama hanya kerana perkara yang remeh temeh seperti tidak memanggil Parti Amanah Negara sebagai Amanah, tetapi PAN. Apakah wajar kita menggunakan kalimah Amanah, sedang di dalamnya penuh dengan manusia yang tidak ada amanah. Sama-sama kita fikirkan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Contohi sifat anjing bukan jadi anjing suruhan ultra kiasu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada sitifatimah sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Contohi sifat anjing bukan jadi anjing suruhan ultra kiasu
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Contohi sifat anjing bukan jadi anjing suruhan ultra kiasu"

Back To Top