
KOTA BHARU, 23 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Penasihat veteran parti rasis dan cauvinis DAP, Lim Kit Siang sewajarnya berehat sepenuhnya daripada politik kerana sudah nyanyuk, kata Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, bapa kepada Lim Guan Eng itu sudah terlalu acap kali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
“Saya rasa Kit Siang nyanyuk dan patut menjalani pemeriksaan kesihatan, DAP sendiri yang memutuskan hubungan dengan PAS malah pernah mendakwa Presiden PAS sebagai hilang akal.
“Semuanya menunjukkan mereka yang memulakan langkah, DAP tidak bersetuju PAS bertegas mempertahankan hudud biarpun ia adalah perkara yang sudah menjadi prinsip parti sejak dahulu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kit Siang baru-baru ini bahawa punca Datuk Seri Abdul Hadi Awang marah kepada DAP telah membawa perpecahan kepada pembangkang.
Dalam masa sama, DAP didakwa tidak menyokong cadangan Abdul Hadi menamakan dirinya dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri pada 2013.
Walhal Fadhli berkata, DAP yang mula memanaskan hubungan dengan parti Islam itu dan menunjukkan belang apabila tidak menerima usaha PAS memperkasakan undang-undang syariah sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat.
Katanya, soal calon Perdana Menteri yang dibincangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dulu adalah soal teknikal yang dipersetujui pimpinan atasan dan tidak sepatutnya dibangkitkan semula.
The post Kit Siang sudah nyanyuk, rehat sajalah… appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Kit Siang sudah nyanyuk, rehat sajalah…
0 Komentar untuk "Kit Siang sudah nyanyuk, rehat sajalah…"