BANGI, 21 Jamadilawal 1439H, Rabu – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, tidak layak diangkat sebagai pemimpin atau diberi undi pada pilihan raya akan datang, kerana beliau tidak memberi apa-apa faedah, terutama kepada agama, bangsa dan negara.
Demikian antara rumusan yang dibuat Gerakan Pengundi Sedar (GPS) setelah membuat kajian dan penilaian ke atas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.
GPS adalah satu gerakan bebas yang ditubuhkan pada Oktober 2017 atas kesedaran bahawa rakyat memerlukan penunjuk arah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi. GPS mempunyai agenda untuk mengangkat calon muslim berwibawa dan layak bagi memenuhkan Dewan Rakyat.
Rumusan GPS itu menyatakan:
“Ternyata, Nazri banyak memilih untuk mengulas isu-isu yang tiada kaitan dengan bidangnya. Biasanya, jika seseorang itu memilih untuk mengulas sesuatu yang tiada kaitan dengan bidangnya, maksudnya dia mempunyai sesuatu kepentingan tersembunyi yang tidak kita ketahui. Apakah kepentingan Nazri terhadap isu-isu ini?
“Adakah layak seorang wakil rakyat yang dipilih oleh orang-orang Islam, akhirnya tidak membawa suara dan pendirian mereka? Ini adalah zalim. Lebih malang lagi, beliau adalah seorang anggota kabinet, iaitu seorang menteri.
“Sangatlah jelas, bahawa rakyat terutamanya pengundi-pengundi di Padang Rengas perlu sedar siapakah Nazri Aziz yang sebenarnya. Apa gunanya mengundi beliau tetapi tidak memberikan apa-apa faedah, terutamanya kepada bangsa, agama dan negara?”
GPS turut menyenaraikan lima isu utama membabitkan Nazri, yang mendedahkan apakah pendirian dan reaksi beliau terhadap sesuai isu.
“Paling penting ialah ‘kompetenkah beliau dalam melaksanakan tugas sebagai menteri’, yang patut diketahui oleh orang ramai terutamanya para pengundi,” kata GPS dalam satu kenyataan, hari ini.
Lima isu itu ialah:
1. Nazri raikan keputusan batal agama kanak-kanak Islam (Januari 2018);
2. Nazri pertahan logo ‘buruk’ Tahun Melawat Malaysia 2020 (januari 2018);
3. Kepincangan menguruskan sistem IMAMS (September-Disember 2017);
4. Nazri pertahankan filem homoseksual (Mac 2017); dan
5. Nazri Aziz persoal jemput Dr Zakir Naik ke Malaysia (April 2016)
Ikuti kupasan lanjut lima isu itu dalam ruang Pendapat Ismaweb atau klik GPS.
The post Nazri Aziz tak layak diangkat, diberi undi ke Dewan Rakyat: GPS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Nazri Aziz tak layak diangkat, diberi undi ke Dewan Rakyat: GPS
0 Komentar untuk "Nazri Aziz tak layak diangkat, diberi undi ke Dewan Rakyat: GPS"