KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Kerajaan mungkin menyelaraskan sistem pendidikan dalam usaha menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ia dapat dicapai jika kerajaan terus memperoleh mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
“Ini adalah satu daripada keutamaan saya dan selepas PRU, dengan mandat rakyat, kita perlu mengkaji perkara ini dengan teliti dan mungkin membuat perubahan,” katanya pada sesi ‘town hall’ dengan kakitangan Axiata dan Celcom di Axiata Arena di Bukit Jalil di sini, semalam.
Najib berkata, langkah sedemikian akan memastikan generasi akan datang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi IR4.0.
Ditanya mengenai agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), Najib berkata, tempoh 30 tahun mulai 2020 adalah mencukupi untuk membawa kesan kepada perubahan dan menyaksikan pencapaian cemerlang masa depan.
Mengenai perkara lain, perdana menteri berkata, rakyat Malaysia terus menghormati satu sama lain bagi mengukuhkan lagi perpaduan di negara ini.
“Kita perlu memupuk nilai-nilai teras tertentu seperti belajar berinteraksi dengan satu sama lain dan belajar menghormati satu sama lain supaya Malaysia dapat mencapai kemajuan sebagai sebuah negara yang harmoni.
“Jika kita dapat mewujudkan lebih banyak detik-detik perpaduan, kita boleh mengukuhkan perpaduan dan kita perlu memerangi sebarang bentuk ekstremisme,” kata beliau. – Bernama
The post Sistem pendidikan bakal diubah hadapi Revolusi Industri 4.0 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Sistem pendidikan bakal diubah hadapi Revolusi Industri 4.0
0 Komentar untuk "Sistem pendidikan bakal diubah hadapi Revolusi Industri 4.0"