Gema Semua Maklumat

Umat Islam harus jadikan amalan baca al-Quran sebagai panduan pertahan kesatuan

Umat Islam harus jadikan amalan baca al-Quran sebagai panduan pertahan kesatuan

KOTA KINABALU, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Umat Islam harus menjadikan amalan membaca al-Qur’an sebagai panduan untuk mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang terbina bersama masyarakat lain di negara ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menjelaskan setiap perbezaan dalam kemasyarakatan perlu ditangani mengikut acuan adab dan budaya serta panduan yang digariskan oleh agama.

“Sesungguhnya al-Qur’an memimpin ke arah penyatuan kerana mengambil kira betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan umat untuk menjayakan apa jua perancangan demi kemajuan kerana kita tidak akan ada kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan umat dan negara,” katanya ketika merasmikan penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Qur’an peringkat negeri di sini malam tadi.

Juhar juga berkata, keimanan yang dimiliki setiap umat Islam akan mengukuhkan perpaduan umat.
Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dalam ucapannya mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan golongan tertentu yang suka mengapi-apikan isu sensitif khususnya berkaitan agama dan perkauman.

Menurutnya, golongan itu lupa pada ajaran al-Qur’an untuk menyayangi antara satu sama lain dan bersatu hati serta melarang umat bermusuhan dan berpecah belah.

“Keharmonian dalam kepelbagaian agama dan suku kaum di negeri yang tercinta ini perlulah kita pelihara.

“Jangan kita benarkan pihak tidak bertanggungjawab cuba mengganggu gugat keharmonian hidup beragam dan bermasyarakat sesama kita,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Ayub Maidi dari Tawau dan Nurfateen Izzati Rablin mewakili Pantai Barat Utara masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah tilawah peringkat negeri. – Bernama

The post Umat Islam harus jadikan amalan baca al-Quran sebagai panduan pertahan kesatuan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada ainulillia sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Umat Islam harus jadikan amalan baca al-Quran sebagai panduan pertahan kesatuan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Umat Islam harus jadikan amalan baca al-Quran sebagai panduan pertahan kesatuan"

Back To Top