GEMULAH IBUKU -
Credit kepada sumber asal Artikel di GEMULAH IBUKU
Ibuku pun bepulanglang ke hadrat Tuhannya. Tanggal 18 Disember jadi tarikh paling mendung dalam hidupku. Pada jam sekitar 5.15 pagi, roh ibuku meninggalkan jasadnya seluruhnya. Ketika itu aku dan adik beradikku berada di sisinya. Aku membacakan surah Ar-ra'du. Ketika itu nazak ibu mencemaskan. Talqin kalimah tauhid dilantunkan tidak putus-putus ke telinga ibuku. Ketika nafasnya behenti, keadaan menjadi sunti sepi. Aku berhenti membaca. Pakcik Jen yang turut hadir memberitahu. Ibu telah tiada.
Itulah tanggal 18 haribulan 12 tahun 2018. Bersamaan dengan 10 Rabiul Akhir tahun 1440. Di kampung leluhur, kampung Datuk, mukim Tekai Kiri, Naka Kedah.
Ibuku menjadi ikon keluarga sejak 15 tahun yang lalu. Pada tahun 2003, 5 hb oktober, jam 11.51 pagi, bapaku meninggalkan alam fana ini. Ketika aku berada di perantaun jauh, iaitu sedang berkurusu KPLI di maktab Kent. Hari kematiannya aku tidak pulang. Aku pulang 3 hari kemudian. Aku tidak dipukul sedih sebab ada ibuku. Dia menjadi azimat hidupku.
Selepas 15 tahun, ibuku menyusul ayah. Dalam 15 tahun iru, banyaklah kenangan bersama ibuku. Kehilangannya benar-benar menjadi runtunan sedih buatku. Bukan sahaja aku, semua keluargaku. Benar-benar terasa kehilangannya.
Aku secara peribadi, ada banyak kenangan istemewa bersama ibu. Kenangan pergi bersafar haji bersama jadi episod kehidupan yang tidak terlupakan. Sejak aku berkhidmat di Sabah hingga pulang ke Kulim, kesihatan ibuku merosot sedikit demi sedikit. Aku bersyukur ketika ibuku benar-benar sakit, aku sudah berada dekat dan boleh pulanmg menjenguk selalu. Boleh kata setiap minggu, hari Jumaat dan Sabtu, kampunglah tempat aku berehlah. Rehlah ibadah . Ziarah ibu yang sakit.
Aku rasa mahu menyatakan kepuasan khidmat baktiku kepadanya. Khidmat baktiku berkisar tentang pendanaan. Ia mungkin tidak sehebat khimat bakti 3 orang saudara perempuanku yang duduk berdekatan mereka. Mereka berbakti dengan tenaga dan jerih payah menjaga ibu. Terutamanya adik perempuanku yang bongsu, kamalia. Aku bersyukur kerana ada mereka.
Kebaikan kita tidak perlu dihitung sebenarnya. Tetapi menyebut nikmat Allah kepadaku adalah saranan daripada Al-Quran. Dalam Surah Ad-duha, ayat terakhirnya, Allah suruh kita bicarakan nikmat-nikmatNya buat kita. Dapat menyalurkan khidmat bakti adalah nikmat Allah buat anak-anak. Lalu aku ceritakan sebagai tazkirah hidup buatku dan penzahiran syukur. Bukan berbangga-bangga dan riak atas amal soleh.
Sejak aku bekerja sebagai guru tahun 2004, ibuku telah menjadi janda kehilangan suami. Keluargaku bukanlah kaya. Masa itu ibuku masih sihat dan bertenaga meneruskan pekerjaannya sebagai penoreh getah. Anak-anaknya sudah besar. Hanya kamalia yang masih bersekolah. Aku membantu ibuku dengan sumbangan wajib sebanyak 400 sebulan. Angka itu tidak pernah berubah sehingga tahun 2018. Melainkan tambahan-tambahan mengikut keadaan.Aku menganggap telah menjadi kewajipan atasku. Dalam gajiku, ada bahagian ibu. Ia bukan milikku dan bukan untuk kesenangan hidupku semata-mata. Ketika aku dapat bayaran KWSP, aku gunakan untuk bawa ibuku ke Makkah menunaikan haji.
Setelah ibuku meninggal, aku cuba menghitung jumlah yang sempat aku berikan kepada ibuku. 400 x12 bulan x 15 tahun. Jumlahnya 72 ribu. Itu sangat kecil berbanding jasa dan pengorbanannya. Sepatutnya aku kejar angka 500 juta atau lebih. Tapi, aku tidak mampu sebanyak itu. Aku terlambat, ada kikir yang merugi. Jika aku sempat sebanyak itu pun, belum dapat seorang anak menunaikan kewajipannya buat orang tuanya. Allah hanya beri eksempatan sebanyak itu. Syukurlah. daripada tidak sempat langsung membuat simpanan hari kemudian, jumlah itu aku harap dapat menjadi kad kredit golden pada hari kemudian.
Banyak sekali yang boleh aku coretkan tentang ibuku. Tapi, jemariku sudah lama tidak mencoret. Aku menjadi kaku sejak dua menjak ini. Sementelahan menulis tentang ibuku, insan yang mengagung dalam hatiku. Insan yang aku sebutkan sebagai azimat hidupku sehingga hari matinya.
Insya Allah, coretana ini jadi kenangan hari muka, terutama buat anak dan keturunanku. Berbaktilah kepada orang tuamu dan anggaplah kesempatan berbakti itu nikmat buatmu dna bukan beban. Sekali terputus peluang membuat bakti, hilanglah sendi utama dalam berkat hidupmu.
Hari-hari selepas ini aku cemas. Bagaimana hendak aku semai berkat hidupku agar terus semarak seperti masa ibuku masih hidup. Aku tidak akan menemui lagi ladang penuh berkat seperti masa ibu masih menjadi ladang aku berbuat jasa.
Credit kepada sumber asal Artikel di GEMULAH IBUKU
Tag :
agama
0 Komentar untuk "GEMULAH IBUKU"