Kesemua penerima biasiswa, yang dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah James Tan You Sian, pelajar Kejuteraan Bahan di University Oxford, United Kingdom; Christina Parvinder Kaur (Sains Perubatan, Universiti Malaya (UM); Fakhitah Ridzuan (Pengurusan Sistem Maklumat Universiti Sains Malaysia (USM); Mohd Fadhli Abd Rashid (Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia); Iffa Farahin Jeepery (Biokomia, USM) dan Leong Xin Yun (Biologi Molekul, University of Cambridge, United Kingdom).

Enam penerima bagi pengajian Sarjana pula ialah Daniel Liew Yu Chuan (Kejuruteraan Awam, UTM); Heng Wei Khang (Sains Biologi Marin, UM); Jaezah Adlina Zainal Azman (Pharmacology and Translational Medical Science, University Oxford); Kaif Hilman Muhammad Borhan Tan (Matematik, University Of Cambridge, UK); Nur Nadia Che Aziz (Sains Perubatan, USM) dan Vinnothini Rasalingam (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Imperial College, London).

BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang pelajar.

Sehingga kini, sebanyak 11 sesi penawaran telah dilaksanakan dengan menaja seramai 129 pelajar iaitu 65 pelajar di peringkat PhD dan 64 pelajar di peringkat Sarjana.

Bidang pengajian yang ditaja meliputi empat bidang utama iaitu sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar.

Mengulas penerimaan biasiswa itu, Tan berkata, beliau mahu menjadikan biasiswa tersebut sebagai platform untuk menjalankan sebanyak mungkin kajian di luar negara khususnya dalam menaik taraf perkhidmatan jalur lebar negara ini.

“Ini satu bidang baharu yang luas, saya akan membawa balik segala ilmu yang saya pelajari untuk menambah baik pelbagai perkhidmatan terutama perkhidmatan komunikasi di negara ini,” katanya yang menyambung pelajaran bagi tempoh tiga tahun.

Seorang lagi pelajar, Jaezah Adlina berkata, biasiswa yang diterima akan digunakan sebaik mungkin bagi meringankan kos pengajian di luar negara.

Katanya, beliau menyedari biasiswa yang ditawarkan adalah merupakan hasil dari masyarakat dan bertekad akan berbakti semula dengan kerajaan apabila tamat belajar nanti.

Jazeah Adlina bercadang untuk mendalami kajian bagi menambah baik rawatan pemulihan penyakit strok di negara ini. Sementara itu, Zainal Rahim berkata kerajaan berharap penerima biasiswa tersebut mencatat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka dan kembali berkhidmat dengan kerajaan.

Tambahnya, sebelum ini 85 peratus daripada penerima biasiswa tersebut kembali bertugas dengan kerajaan setelah tamat pengajian. – Bernama