Oleh Athirah Huda Zalhe
KUALA LUMPUR, 28 Syaaban 1438H, Khamis – Penjualan hampir 50 peratus saham Proton kepada pengeluar kereta China – Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) menyebabkan Malaysia hilang satu daripada ikon negara.
Demikian respon dan rasa kekesalan bekas Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tunjang utama dalam memajukan industri automotif negara sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.
Beliau berkata, meskipun ramai mengkritik kononnya Proton mengeluarkan kereta yang kurang bermutu tinggi, namun hakikatnya kata Dr Mahathir tiada mana-mana negara membangun dalam dunia yang mampu mengeluarkan jenama keretanya sendiri.
“Dalam jangka masa hanya 30 tahun sahaja, rakyat Malaysia yang dulu hanya tahu membawa kereta sahaja, sudah belajar bagaimana membikin sebuah kereta sendiri.
“Mereka belajar dalam jangka masa yang pendek kerana negara-negara lain mengambil masa sehingga 50 ke 100 tahun untuk mengeluarkan kereta-kereta seperti Proton,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia di sini, malam tadi.
Beliau mengakui ramai yang mengkritik beberapa isu teknikal yang dihadapi jenama nasional itu, namun katanya sehingga ke hari ini Proton telah memperbaiki banyak kelemahan pada setiap model dengan pengeluaran yang lebih baik serta berkualiti.
“Tiada satu industri yang tetap ke tahap itu sahaja sehingga tidak boleh dimajukan lagi. Ya, memang ada kelemahan, tetapi kelemahan itu sudah kita atasi dan tidak perlu pergi ke negara China untuk mendapat teknologi bagi membangunkan industri automotif seperti Proton.
“Kalau tak nak beli pun boleh cuba (test drive) Saga, Persona dan Perdana. Tiga buah model ini dikeluarkan serentak dalam setahun. Kalau dahulu sebuah model dalam tempoh tiga tahun, kali ini kita mampu keluar tiga model setahun,” katanya.
Namun katanya, beliau sedih apabila Proton yang dahulunya ‘gah’ menjadi milik negara sudah tidak lagi bergelar sebagai kereta nasional.
“Apabila kita beli Proton di masa hadapan, kita membeli kereta asing kerana ia telah dijual.
“Maka harus kita tanya, apa lagi yang bakal kita jual?,” katanya.
The post Jual Proton: Malaysia hilang ikon negara, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jual Proton: Malaysia hilang ikon negara, kata Tun M
0 Komentar untuk "Jual Proton: Malaysia hilang ikon negara, kata Tun M"