KUALA LUMPUR, 25 Syaaban 1438, Isnin – Barisan Nasional (BN) dilapor telah membelanjakan kira-kira RM600 juta untuk berkempen secara berkesan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Hal itu diakui Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menghadiri sebuah dialog dengan Alumni Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, semalam.
Katanya, kira-kira RM600 juta telah digunakan daripada penganjuran aktiviti pra pilihan raya untuk rakyat sehingga hari mengundi.
“Wang itu datang daripada pengerusi Barisan Nasional sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan berhubung wang RM2.6 bilion yang didakwa diterima daripada Arab Saudi, yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, sebahagian dana itu digunakan untuk PRU13.
Nazri berkata, tidak ada salahnya wang itu digunakan untuk tujuan pilihan raya.
“Saya ialah menteri undang-undang selama 9 tahun di Malaysia. Ia tidak salah untuk meminta dana dari luar bagi menyokong menjalankan kempen pilihan raya.
“Ia juga tidak salah meletakkan wang itu ke dalam akaun seseorang,” katanya.
Jelas Nazri, apa yang boleh dianggap salah ialah sumber dana itu.
“Jika ia datang daripada aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah, maka ia adalah salah. Tetapi, wang itu bukan datang daripada aktiviti haram,” katanya.
Dalam masa sama, Nazri mengakui beliau turut menerima wang daripada Najib atas tujuan membantu beliau memenangi kerusi Parlimen Padang Rengas di Perak, pada PRU lalu.
“Saya terima RM10,000 untuk membayar deposit calon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya apabila saya dicalonkan untuk bertanding di Padang Rengas bersama RM200,000 untuk belanja berkempen.
“Undang-undang pilihan raya membenarkan calon membelanjakan sehingga RM200,000 untuk tujuan berkempen.
“Kemudian, RM300,000 lagi diberikan kepada 60 cawangan Umno di kawasan saya untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
The post BN belanja RM600 juta untuk kempen PRU13 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di BN belanja RM600 juta untuk kempen PRU13
0 Komentar untuk "BN belanja RM600 juta untuk kempen PRU13"