KUALA LUMPUR, 26 Syaaban 1438H, Selasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menyerahkan surat meminta penjelasan daripada pihak keselamatan negara dan kerajaan, berhubung bentuk kerjasama antara UMNO dan MCA dengan Parti Komunis China (CPC).
Surat berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalannya yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Pemimpin MCA ketika lawatan kerja kerajaan dipimpin Najib ke China, tahun lalu, mengambil kesempatan menjalin kerjasama dengan CPC yang turut dikenali sebagai Chinese Communist Party (CCP).
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker membidas Perkasa kerana membisu dengan tindakan UMNO menjalin hubungan dengan CPC, sebaliknya hanya menyelar parti komponen Barisan Nasional itu sahaja.
Ti turut mengingatkan Perkasa bahawa UMNO menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CPC lebih awal menerusi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Ogos 2010.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali hari ini berkata, dalam surat itu pihaknya akan meminta pihak berkatan memberi penjelasan dari segi dasar yang membenarkan kerjasama dengan parti komunis itu.
“Kita tergamam sebab Parti Komunis China yang berkaitan idealogi komunis ada kerjasama dengan UMNO. Kita dah lama menghadapi komunis di Malaya sehingga banyak nyawa terkorban,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, sekali pun kerjasama itu dibenarkan, apakah kerajaan tidak mengambil kira sensitiviti bekas polis, tentera, termasuk kemarahan rakyat, khususnya orang Melayu yang menentang gerakan komunis di negara ini satu ketika dahulu.
“Apakah ini tidak diambil kira, dan bagaimana pula boleh dibenarkan sebab ini satu perkara perubahan dasar yang sangat besar. Jika parti politik boleh bekerjasam dengan parti komunis China, tidak mustahil ia akhirnya nanti ada parti politik atau NGO-NGO akan membuat hubungan dengan lain-lain pertubuhan di seluruh dunia nanti.
“Perkasa tak tolak kemungkinan fahaman ideologi komunis akan diserap dan ia akan bahayakan negara. Mungkin pihak lain seperti parti dan NGO akan adakan kerjasama dengan IS dan Al Qaeda (pula) oleh sebab pihak lain ada hubungan dengan CPC,” katanya.
The post Bukit Aman, tentera kena perjelas bolehkah kerjasama dengan komunis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bukit Aman, tentera kena perjelas bolehkah kerjasama dengan komunis
0 Komentar untuk "Bukit Aman, tentera kena perjelas bolehkah kerjasama dengan komunis"