Gema Semua Maklumat

Gantung saja permit The Star, desak Pembela

Gantung saja permit The Star, desak Pembela

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Ramadan 1438H, Rabu – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak kerajaan menggantung permit akhbar The Star bagi suatu tempoh tertentu, berikutan penyiaran berita dan gambar muka depannya yang melampau dan tidak sensitif terhadap umat Islam, apa lagi ketika bulan puasa.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan dilihat terlalu berlembut dan ‘memberi muka’ dalam menjalankan siasatan dan tindakan terhadap akhbar berkenaan.

Katanya, laporan berita dan gambar yang dibuat serentak dalam satu muka surat dengan tajuk utama ‘Malaysian terrorist leader’ disertai gambar umat Islam sedang bersolat, memberi gambaran negatif terhadap agama Islam.

“PEMBELA mendesak supaya permit akhbar The Star digantung bagi tempoh tertentu, supaya menjadi pengajaran kepada mereka. Ini bukan kali pertama akhbar itu tidak sensitif terhadap Islam dan sepatutnya tidak boleh dimaafkan lagi.

“Tidak cukup hanya dengan memberi surat tunjuk sebab dan kemudian memberi amaran. Kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti mengambil tindakan tegas kali ini,” katanya kepada ismaweb.net, hari ini.

Permit akhbar The Star pernah ditarik balik pada 1987 iaitu menerusi Ops Lalang, tetapi dibenarkan beroperasi semula lima bulan kemudian.

Haji Aminuddin berkata, penggantungan dua pengarang kanan The Star berkuat kuasa semalam, masih belum mampu meredakan kemarahan umat Islam berhubung perkara itu.

“Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarang Urusan Star Media Group, Datuk Wong Chun Wai sepatutnya menjadi individu utama bertanggungjawab terhadap isu itu,” katanya.

The Star pada muka depan Sabtu lalu menyiarkan berita bertajuk ‘Malaysian terrorist leader’ dan pada maa sama meletakkan gambar umat Islam sedang melakukan solat Tarawih. Cara penyiaran itu dianggap tidak sensitif kepada Islam, apabila ia kelihatan seolah-olah menggambarkan umat Islam terbabit dengan keganasan.

Berikutan itu, ramai pihak tidak puas hati, malah ada aktivis Islam yang membuat laporan polis mengenainya. KDN kemudian memanggil empat wakil akhbar harian itu untuk memberi penjelasan berhubung laporan berkenaan, dan memberi tempoh tujuh hari bagi mereka menjawab surat tunjuk sebab.

The post Gantung saja permit The Star, desak Pembela appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Gantung saja permit The Star, desak Pembela
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Gantung saja permit The Star, desak Pembela"

Back To Top