Gema Semua Maklumat

MB Selangor menghadap Sultan isu Sivarasa dalam masjid

MB Selangor menghadap Sultan isu Sivarasa dalam masjid

SHAH ALAM, 5 Ramadan 1438H, Rabu – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam, bagi menjelaskan kejadian Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, berceramah dalam sebuah masjid di Subang, minggu lalu.

“Berhubung isu tindakan Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa di sebuah masjid di Subang minggu lepas, saya telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bagi menjelaskan keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Katanya, pemimpin politik di Selangor juga perlu patuh terhadap garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung penganjuran majlis di masjid dan surau bagi menjaga kesucian rumah ibadat orang Islam itu.

Beliau berkata, garis panduan itu perlu dipatuhi oleh semua pemimpin politik beragama Islam dan bukan Islam sebagai menghormati fungsi utama masjid dan surau sebagai tempat beribadah serta menyatupadukan umat Islam.

“Sebarang majlis anjuran wakil rakyat boleh dilakukan di masjid dan surau tetapi biarlah ia dilakukan di perkarangan kawasan berkenaan sahaja, bukan di ruang solat.

Sivarasa didakwa mencemarkan kesucian Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat sini, apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid itu, Rabu lalu.

Wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun menafikan beliau memberi ceramah di masjid berkenaan, sebaliknya menyatakan hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri berkenaan.

Mohamed Azmin berkata, Sivarasa juga ada menemui beliau bagi menjelaskan keadaan yang berlaku, tetapi enggan memberitahu butir penjelasan berkenaan.

Mohamed Azmin turut menjelaskan, Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan tetapi ia adalah majlis anjuran pejabat anggota Parlimen itu sendiri.

Semalam, Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen itu yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.

Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.

Beberapa gambar kehadiran Sivarasa ke masjid berkenaan turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak. – Bernama

The post MB Selangor menghadap Sultan isu Sivarasa dalam masjid appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di MB Selangor menghadap Sultan isu Sivarasa dalam masjid
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "MB Selangor menghadap Sultan isu Sivarasa dalam masjid"

Back To Top