BATU PAHAT, 4 Ramadan 1438H, Selasa – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan kenaikan harga ikan sepanjang Ramadan ini dan menjelang perayaan Aidilfitri.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Perikanan pada Selasa bagi membincangkan bagaimana untuk menstabilkan harga ikan khususnya di pasar tani.
“Saya menerima maklum balas daripada nelayan terutama di perairan Selat Melaka, walaupun cuaca baik, namun lautan bergelora menyebabkan tangkapan ikan terjejas.
“Dari segi pendaratan ikan, mengikut data Mac hingga September sepatutnya hasil tangkapan meningkat. Tetapi hari ini, bila nelayan di tengah laut, terdapat angin kencang yang tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, di ALOR SETAR, harga sayur-sayuran di Pasar Besar Alor Setar naik antara RM2 hingga RM5 sekilogram, tiga hari selepas berlaku kenaikan harga ikan, ayam dan daging pada hari pertama Ramadan, Sabtu lalu.
Hasil tinjauan Bernama mendapati, daun bawang dan daun sup antara yang tertinggi berlaku kenaikan sehingga mencecah RM15 sekilogram berbanding hanya RM10 sekilogram yang dicatatkan pada Ahad.
Turut berlaku kenaikan ialah daun salad RM12 berbanding RM10, kacang buncis RM9 daripada RM7, cabai melaka RM8 daripada RM6.50, timun RM4 berbanding RM2.50, dan sawi RM6 berbanding RM4 sebelum ini.
Menurut peniaga, Hafizah Zakaria, 23, walaupun berlaku peningkatan, sayur seperti kobis bulat turun 50 sen daripada RM3.50 dan cili hidup masih berlegar pada harga RM12 sekilogram.
“Kita peniaga runcit terpaksa naikkan harga untuk dapat keuntungan, ini dah jadi biasa bila tiba musim perayaan, pemborong naikkan harga sayur dengan alasan bekalan kurang akibat cuaca, tetapi bila habis musim perayaan harga kembali murah dan stabil,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Shukri Hashim, 58, berkata, stok yang tidak mencukupi menyebabkan harga di peringkat pemborong melambung naik dan peruncit serta pengguna yang menanggung beban.
“Harga sayur lain masih rendah, tetapi daun bawang dan daun sup naik sehingga RM15, ini berlaku apabila tauke-tauke di Cameron Highlands banyak buat agihan di sebelah selatan tanah air menyebabkan kita terima stok yang sedikit dan mahal,” katanya. – Bernama
The post Ikan, sayur naik harga ketika Ramadan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ikan, sayur naik harga ketika Ramadan
0 Komentar untuk "Ikan, sayur naik harga ketika Ramadan"