JAKARTA, 12 Syaaban 1438H, Selasa – Kerajaan Indonesia bakal mengharamkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir, atas alasan bahawa pergerakan itu bercanggah dengan nilai-nilai yang termaktub dalam ideologi Pancasila dan Perlembagaan 1945.
Selepas beberapa siri penilaian, kerajaan membuat kesimpulan bahawa aktiviti Hizbut Tahrir menunjukkan percanggahan pergerakan itu dengan Pancasila dan Perlembagaan 1945, kata Menteri Keselamatan, Wiranto, seperti dilaporkan Kompas.com.
Desakan supaya pergerakan itu diharamkan meningkat sejak beberapa bulan lalu, di tengah-tengah kebimbangan orang ramai bahawa aktivitinya boleh menjejaskan perpaduan negara.
“Selepas memerhati dengan teliti beberapa kegiatan Hizbut Tahrir, selain pendapat umum, kerajaan memutuskan akan mengambil tindakan tegas untuk mengharamkan Hizbut Tahrir,” kata Wiranto.
Kerajaan percaya aktiviti pergerakan itu amat bercanggah dengan matlamat, prinsip dan ciri-ciri yang termaktub dalam Pancasila, malah Wiranto berkata, pergerakan itu telah menggalakkan konflik dan melemahkan perpaduan negara.
Ketua Polis Negara, Jeneral Tito Karnavian berkata, pihaknya akan mengemukakan semua bukti kepada pendakwa raya dalam tindakan untuk mengharamkan Hizbut Tahrir.
Menurut undang-undang Indonesia, tanggungjawab mengharamkan mana-mana pertubuhan seperti Hizbut Tahrir terletak di tangan Pejabat Peguam Negara, selepas menerima permintaan daripada Kementerian Kehakiman dan Dalam Negeri.
Hizbut Tahrir adalah sebuah organisasi antarabangsa bertujuan mewujudkan fahaman teokrasi di dunia Islam dengan mengetepikan ajaran sedia ada, sama ada melalui paksaan atau cara lain. Pertubuhan ini pada asalnya diasaskan oleh Syeikh Taqiuddin al-Nabhani pada 1953 berpusat di Jerusalem, Palestin.
Hizbut Tahrir diperkenalkan di Indonesia pada 1983 oleh ulama berketurunan Jordan-Lubnan, Abdur Rahman al-Baghdadi.
Pergerakan itu mendapat sambutan di Indonesia, malah pada 2007 puluhan ribu pengikutnya berkumpul di Jakarta bagi menunjukkan sokongan kepada cadangan pergerakan itu untuk mewujudkan pemerintahan khalifah.
Pergerakan itu juga dilaporkan ada hubungan dengan gerakan ekstremis, seperti Jemaah Islamiyah. Walaupun belum ada tindakan kekerasan yang ditunjukkan, Hizbut Tahrir diharamkan di beberapa negara, termasuk negeri di Malaysia.
Pada 17 September 2015, Jawatankuasa Fatwa Selangor melarang dan mengharamkan mana-mana umat Islam yang berbaiah atau mengamalkan fahaman serta ajaran Hizbut Tahrir kerana ia bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Ini kerana fahaman Hizbut Tahrir ini mengandungi beberapa elemen bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu berpegang kepada fahaman Qadriyyah dan percaya bahawa akidah Siyasiyyah lebih penting daripada akidah ruhiyyah.
Selain itu, fahaman ini juga menafikan istilah al-Qadha’ wa al-Qadar, menolak sumber akidah melalui hadis Ahad dan mengatakan bahawa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi atau Rasul.
Mereka juga berfahaman bahawa pemerintah, ahli Parlimen dan ulama Islam semuanya kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur.
Oleh itu, mereka meletakkan negara-negara Islam semuanya sebagai negara kafir kerana berhukum dengan sistem kufur dan haram menyertai sistem kerajaan sekarang.
The post Indonesia bakal haram Hizbut Tahrir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Indonesia bakal haram Hizbut Tahrir
0 Komentar untuk "Indonesia bakal haram Hizbut Tahrir"