BANGI, 29 Syaaban 1438H, Jumaat – Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu, dipercayai bertemu seorang ejen perisikan Amerika Syarikat (AS) di sebuah hotel di Langkawi.
International Business Times yang memetik laporan akhbar Jepun The Asahi Shinbum berkata, pihak berkuasa Malaysia dikatakan memperoleh maklumat baharu berhubung pembunuhan Jong-nam.
Dalam laporan itu Asahi Shinbum melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia juga mengesyaki kemungkinan pertemuan di Langkawi itu menjadi punca pembunuhannya.
Menurut laporan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyaki Jong-nam bertemu ejen perisikan Amerika sehari sebelum dia dibunuh di klia2.
Jong-nam mati selepas dua wanita memeum muknya menggunakan agen saraf VX yang sangat bertoksik, ketika dia hendak berlepas ke Macau. Kedua-dua suspek wanita warga asing itu kini sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Sepang.
Pada 1 Mac lalu, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai pelepasan klia2 kira-kira jam 9 pagi, 13 Februari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Korea Selatan mendakwa pembunuhan itu diarah oleh rejim Pyongyang, yang sebelum ini pernah cuba membunuh Jong-nam yang tinggal dalam buangan di Macau bersama keluarganya. Pihak berkuasa Malaysia juga dilaporkan percaya warga Korea Utara, termasuk diplomatnya, terbabit dalam kes berprofil tinggi itu.
Menurut Asahi Shinbum, penyiasat Malaysia mendapati Jong-nam pertama kali tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari 6 Februari dari Macau, dan sehari kemudian dia secara rahsia bertolak ke Langkawi. Kamera lapangan terbang menunjukkan Jong-nam hanya membawa sebuah beg hitam, ketika tiba di Kuala Lumpur.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah hotel di Langkawi menunjukkan Jong-nam bertemu ejen perisikan AS – lelaki pertengahan umur Korea-Amerika berpangkalan di Bangkok – pada 9 Februari.
Kedua-duanya memasuki bilik mewah hotel berkenaan jam 1 tengah hari dan keluar kira-kira dua jam kemudian, kata akhbar itu.
PDRM dilaporkan percaya kedua-duanya pernah bertemu di negara ini sebelum pertemuan 9 Februari itu.
Ejen Amerika itu, yang kerap memasuki Malaysia dan dalam pemantauan pihak berkuasa, didapati tiba di negara ini sama hari dengan ketibaan Jong-nam. Jong-nam kemudian bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada petang 12 Februari dan dibunuh sehari kemudian ketika hendak berlepas ke Macau.
PDRM juga dilaporkan menemui komputer Jong-nam bersama pemacu kilat USB.
Akhbar itu juga mendakwa PDRM mengesyaki Jong-nam memberi banyak maklumat berharga kepada ejen Amerika itu. Bagaimanapun, tidak pasti apakah jenis maklumat yang disimpan dalam USB atau sistem komputer itu.
The post Jong-nam bertemu perisik Amerika di Langkawi sehari sebelum dibunuh, lapor akhbar Jepun appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jong-nam bertemu perisik Amerika di Langkawi sehari sebelum dibunuh, lapor akhbar Jepun
0 Komentar untuk "Jong-nam bertemu perisik Amerika di Langkawi sehari sebelum dibunuh, lapor akhbar Jepun"