KUALA LUMPUR, 5 Ramadan 1438H, Rabu – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyaran semua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat tentang keselamatan diri mereka dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat, terutamanya selepas tugasan diselesaikan.
Beliau berkata demikian ekoran kemalangan membabitkan Doktor Perubatan mendapat perhatian ramai terutama bagi kemalangan ulang alik.
“Berdasarkan data jumlah kemalangan ulang-alik di kalangan kakitangan hospital KKM pada tahun 2014 sehingga 2016, didapati terdapat sebanyak 554 kes melibatkan anggota kesihatan dari pelbagai kategori yang bertugas di hospital KKM.
“Antara faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah pemandu yang memandu dalam keadaan penat dan mengantuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sekiranya mengantuk atau kelesuan, mereka disarankan mengambil masa untuk berehat atau tidur sebentar sebelum memandu.
“Ini bagi memastikan mereka dapat memandu dengan selamat semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Memandangkan hospital KKM menawarkan perkhidmatan kesihatan berterusan selama 24 jam, adalah menjadi lumrah anggota kesihatan di hospital untuk bekerja di luar waktu bekerja biasa.
“Justeru KKM akan terus mengambil langkah-langkah proaktif bagi menambahbaik kebajikan dan keselamatan anggota dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pelbagai kemudahan disediakan bagi semua kakitangan bagi memastikan kebajikan keselamatan anggota.
“KKM prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan anggota. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk kakitangan dan terdapat peruntukan sedia ada berdasarkan pekeliling.
“Ia adalah untuk memberi kelonggaran tertentu kepada anggota kesihatan berdasarkan budi bicara Ketua Jabatan dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital,” katanya.
The post Kakitangan KKM dinasihat tidak memandu ketika mengantuk selepas waktu kerja appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kakitangan KKM dinasihat tidak memandu ketika mengantuk selepas waktu kerja
0 Komentar untuk "Kakitangan KKM dinasihat tidak memandu ketika mengantuk selepas waktu kerja"