Gema Semua Maklumat

Marhaban Ya Ramadan: Pedang ucap selamat berpuasa

Marhaban Ya Ramadan: Pedang ucap selamat berpuasa

HARI ini umat Islam di Malaysia mula berpuasa bulan Ramadan, sebagaimana yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Pedang ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam, sama ada di Malaysia atau di seluruh penjuru dunia. Sama-samalah kita mengisi bulan paling mulia di dalam Islam, bulan yang di dalamnya diturunkan kitab suci al-Quran, dengan melakukan amal ibadat, bukan setakat menjaga perut sahaja.

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Allah berfirman yang bermaksud:

(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadipetunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….” (al-Quran surah Al-Baqarah ayat 185)

Kemuliaan bulan itu ditambah lagi dengan kehadiran satu malam di mana al-Quran itu diturunkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (al-Quran surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5)

Demikianlah al-Quran menerangkan kemuliaan bulan Ramadan. Tak perlu panjang lebar Pedang menerangkan mengenainya kerana Pedang percaya ramai yang sudah mengetahuinya.

Cuma Pedang ingin bercerita sedikit sahaja mengenai bulan Ramadan ini.

Alkisah, bulan Ramadan ini dikira mengikut kalendar lunar (bulan). Mengikut kalendar lunar kita mempunyai 30 atau 29 hari sahaja (sebab itu bulan Syaaban semalam ada 29 hari sahaja). Manakala mengikut kiraan kalendar Gregorian, ia mempunyai 30 atau 31 hari, kecuali pada Februari iaitu sama ada 28 atau 29 hari.

Disebabkan inilah, permulaan tarikh bagi bulan Ramadan berubah setiap tahun.

Kitaran lunar mengelilingi bumi ialah 27.321 hari, kemudian bulan kembali ke peringkat awal dengan terbentuknya bulan sabit, petanda bermulanya bulan baharu.

Demikianlah Allah berfirman yang bermaksud:

Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.” (al-Quran surah Yassin ayat 39)

Bagaimanapun, mengesan waktu kemunculan bulan sabit bagi Ramadan berbeza di antara negara. Secara tradisionalnya, negara Arab dan Islam lebih suka memerhati kemunculan bulan sabit dengan mata kasar atau menerusi teropong, manakala cara lain ialah mengikut kiraan astrologi.

Di Malaysia sekarang ini penetapan tarikh berpuasa adalah mengikut rukyah dan hisab. Walaupun, teropong juga digunakan untuk melihat anak bulan Ramadan.

Masa Pedang kecil-kecil dulu, penetapan tarikh berpuasa lebih kepada nampak atau tidak anak bulan. Kerap diumumkan di corong radio bahawa “anak bulan Ramadan telah kelihatan di……”. Sekarang ini, sudah tiada pengumuman sama ada nampak atau tidak. Tapi Pedang percaya anak bulan Ramadan tetap muncul sebab telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ada tiga peringkat untuk melihat terbitnya bulan sabit.

Pertama, bulan sabit boleh dilihat sebelum matahari terbenam, mengakhiri kitaran bulanan di sekeliling bumi dan memulakan kitaran baharu.

Kedua, matahari terbenam dan bulan sabit kekal di atas ufuk barat.

Ketiga, bulan sabit kekal di langit untuk sekurang-kurangnya setengah jam selepas matahari terbenam.

Bulan sabit hendaklah diperhatikan pada permulaan bulan, bukan penghujung. Ia boleh dilihat dengan mata kasar dalam lingkungan 12 hingga 15 jam selepas menjelma menggunakan teleskop.

Untuk melihat bulan sabit dengan jelas, kita mesti memerhatinya dari tempat yang tinggi, jauh daripada apa-apa yang menghalang penglihatan, seperti bukit, gunung atau bangunan tinggi.

Itulah serba sedikit yang dapat Pedang terangkan mengenai cara untuk menetapkan bilakan 1 Ramadan.

Terima kasih Pedang ucapkan kepada sahabat yang menghantar gambar di bawah sebagai peringatan kepada semua yang berpuasa. Inilah yang kerap berlaku sebelum waktu berbuka.

Kata Pedang: Pusat hiburan di Jakarta diarah tutup sepanjang Ramadan. Bandar-bandar utama di Malaysia bagaimana?

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu.

The post Marhaban Ya Ramadan: Pedang ucap selamat berpuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Marhaban Ya Ramadan: Pedang ucap selamat berpuasa
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Marhaban Ya Ramadan: Pedang ucap selamat berpuasa"

Back To Top