Gema Semua Maklumat

Mengapa harus melancong bersama ‘babi terbang’?

Mengapa harus melancong bersama ‘babi terbang’?

BABI atau khinzir, tak kira batang tubuh haiwan berkenaan atau perkataan, sememangnya sensitif bagi umat Islam. Namun, babi juga adalah sejenis binatang ciptaan Allah SWT. Setiap ciptaan Allah ada hikmahnya, walaupun sedikit dan sebagai tambahan.

Bagi umat Islam, pengharaman memakan babi sebagaimana firman Allah Taala dalam lima ayat al-Quran, menjadikan haiwan itu sensitif. Berdosa jika sengaja memakan daging babi. Ada yang berkata umat Islam pun boleh makan babi jika terpaksa, dan mereka yang berkata demikian berpegang kepada ayat 173 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Babi itu haram dimakan kerana Allah Taala yang mengharamkannya. Bukan hanya semata-mata babi itu mengandungi cacing pita, bakteria atau apa-apa virus. Tetapi, kerana kepercayaan kita kepada Allah, al-Quran dan Rasulullah SAW, bahawa haramnya daging babi adalah kerana Allah Taala yang mengharamkannya.

Begitu juga hukum haram babi akan jatuh ke atas daging ayam atau lembu atau apa sahaja haiwan yang tidak diharamkan kepada umat Islam, sekiranya ketika disembelih disebut nama selain Allah. Semua daging itu akan menjadi bangkai dan umat Islam diharam memakan bangkai.

Bagi orang Melayu, selain haram dimakan, kita berasa tidak selesa dan jijik jika terserempak dengan babi, atau ada ladang ternak babi di kampung kita.

Pedang tidak mencela babi, kerana sebagaimana disebut di atas, babi juga adalah ciptaan Allah. Tetapi, kadang kala penggunaan perkataan babi juga menimbulkan kemarahan kepada kita. Contohnya, apabila seseorang memarahi kita dengan perkataan ‘babi’ atau berkata ‘perangai macam babi’. Tentulah kita marah.

Orang Cina yang gemar makan babi dan dalam kalendar mereka pun ada babi, juga akan marah jika kita panggil mereka babi. Apalagi orang Melayu.

Demikianlah sensitifnya orang Melayu dan umat Islam terhadap babi. Larangan memakannya adalah demi menjaga akidah, selain babi itu sendiri sejenis haiwan yang kotor. Ada cacing dan bakteria yang bahaya kepada tubuh badan manusia.

Tetapi, babi mungkin menjadi tidak sensitif kepada sesetengah orang Melayu, jika penggunaan perkataan babi itu adalah dalam bahasa lain, atau penggunaan babi dalam bentuk karikatur, atau babi digunakan dalam bentuk istilah.

Lagipun, kerajaan Malaysia yang agama Persekutuannya adalah Islam, tidak kisah pun untuk mengikat perjanjian dengan ‘babi’. Mengajak kita semua melancong bersama ‘babi terbang’.

Sebagaimana dikatakan oleh Ustaz Ridhuan Tee Abdullah, negara kita ini sudah terkenal sebagai negara pengeksport babi. Ridhuan Tee berasa malu kerana Malaysia menjadi antara negara pengeksport babi terbesar.

Pedang pun malu juga. Lagi Pedang malu apabila Malaysia menandatangani perjanjian tahun lalu, dengan ‘babi’ yang menyediakan maklumat dan perkhidmatan kepada pelancong China untuk melawat negara ini. Ada banyak lagi syarikat yang tidak menggunakan logo babi boleh dijadikan rakan kongsi.

Tetapi, disebabkan pemilik ‘babi terbang’ adalah individu penting buat pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, maka kerajaan tidak kisah pun untuk menggunakan khidmat ‘babi terbang’.

Menjadi hak kepada Jack Ma, pemilik Alibaba Group yang dilantik oleh Najib menjadi Penasihat Ekonomi Digital Malaysia, untuk menentukan apa saja logo atau moto yang hendak digunapakai syarikatnya. Gunalah apa saja logo, moto atau gambar babi sekali pun, ia adalah hak Jack Ma.

Cuma, Pedang hendak beritahu bahawa umat Islam di China pun marah apabila Alibaba menggunakan ‘babi’ untuk laman web baharunya Fliggy.com menggantikan Alitrip.com – syarikat berasaskan pelancongan di bawah Alibaba Group.

Alitrip.com ditukar menjadi Fliggy.com. Nama baharunya ialah feizhu atau ‘flying pig’ dan menggunakan imej karikatur babi sebagai logo baharunya. Nama Inggerisnya ialah Fliggy.

Pedang tak halang sesiapa pun untuk menggunakan perkhidmatan ‘babi terbang’. Terpulang kepada masing-masing tafsiran. Perbelanjaan yang dibuat bagi mendapatkan perkhidmatan itu akan meluaskan lagi pengaruh ‘babi terbang’.

Bagi umat Islam adalah lebih baik menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh orang Islam sendiri.

Lagipun, umat Islam wajib mengutamakan produk keluaran umat Islam sendiri, daripada yang disediakan orang kafir. Biarpun, harganya mahal sedikit berbanding yang ditawarkan orang kafir, sekurang-kurangnya peniaga Islam itu tadi akan menggunakan sedikit keuntungan hasil barangan atau perkhidmatan yang kita beli, untuk membayar zakat atau bersedekah demi membangunkan Islam.

Kalau kita membeli daripada orang kafir, sedikit sebanyak keuntungan yang diperoleh daripada hasil jualannya akan disalurkan kepada agama mereka. Jadi, wajib umat Islam mendapatkan khidmat atau membeli produk keluaran umat Islam, biarpun harganya mahal sedikit atau kedudukan kedainya jauh sedikit.

Contohnya, jika kedai orang kafir di sebelah rumah kita, tetapi kedai umat Islam terletak 200 meter dari rumah kita, adalah wajib bagi kita untuk membeli di kedai milik umat Islam.

Kata Pedang: Pedang dengar sudah ada agensi pelancongan di Malaysia milik orang kafir sudah menyediakan perkhidmatan mengerjakan haji dan umrah.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu.

The post Mengapa harus melancong bersama ‘babi terbang’? appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mengapa harus melancong bersama ‘babi terbang’?
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Mengapa harus melancong bersama ‘babi terbang’?"

Back To Top