KUALA LUMPUR, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – UMNO memuji PAS kerana menunjukkan politik matang dengan mengetepikan perbezaan fahaman serta saling bekerjasama demi kemaslahatan rakyat.
Sambil membahasakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘tuan guru’, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan pendirian Abdul Hadi yang mendahulukan kepentingan rakyat dan mengetepikan perbezaan politik.
“Sebaliknya, memetik kenyataan Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang, saya memetik ucapan beliau, kerjasama antara parti PAS dan UMNO kini adalah satu amalan politik yang sungguh matang, kerana politik antara PAS dan UMNO kita tidak berkelahi. Sebaliknya kita berpolitik untuk kepentingan bersama.
“Haji Hadi juga turut menyatakan dalam politik kita boleh berbeza pendapat, tetapi dalam isu-isu yang melibatkan penetingan rakyat dan negara kita mesti bersatu serta bersama. Secara kebetulan, saya dapat tahu bahawa hari ini Majlis Syura Ulama telah membatalkan tahaluf siyasi antara PAS dan parti PKR,” katanya berucap pada perhimpunan ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil di sini, malam tadi, sambil mendapat tepukan hadiri.
Abdul Hadi ketika ditemui pemberita tatkala hadir pada pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Marang, 4 Mei lalu, mengakui kehadirannya pada majlis itu adalah permulaan kepada politik matang antara PAS dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.
“Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” kata Abdul Hadi.
Perdana Menteri turut menyifatkan wujud persamaan antara kedua-dua parti itu apabila PAS menganggap DAP sebagai musuh kepada Islam, manakala UMNO pula menganggap DAP adalah musuh kepada orang Melayu.
Dalam ucapannya, Najib turut menempelak bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana sanggup bersekongkol dengan pembangkang, khususnya DAP untuk memerangi dan menjatuhkan kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Tanpa menamakan Tun Dr Mahathir secara langsung, Najib berkata:
“Namun sayang 1,000 kali sayang, telah lebih 70 tahun UMNO ditubuhkan dalam memperjuangkan untung nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia, setelah 60 tahun kita meraih kemerdekaan dan dengan segala susah payah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional membina dan membawa kemajuan kepada negara ini, sungguh tidak disangka dan tidak pernah diduga.
“Ada satu dua bekas pimpinan negara, termasuk seorang negarawan yang pernah kita sanjung, tergamak dan sanggup bersubahat, berbuat khianat terhadap parti kita, sanggup menjatuhkan kepimpinan kita, sanggup memerangi UMNO dan Barisan Nasional.
“Yang menyedihkan beliau sanggup menjilat ludah berdamping dan mencium mulut dengan musuh, memerangi parti UMNO yang pernah dipimpin beliau selama berpuluh tahun, kerana agenda peribadi. Kita tak lupa saudara saudari sekelian siapa yang mengajar kita selama ini bahawa DAP itu parti perkauman.
“Kalau bukan dia, siapa lagi. Siapa yang membimbing kita selama puluhan tahun menanam kebencian terhadap parti DAP sebagai parti cauvinis dan rasis yang membenci Melayu dan Islam.”
Tun Dr Mahathir adalah pengkritik utama kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri yang disifatkan beliau sebagai pencuri, berikutan skandal kehilangan berbilion-bilion ringgit wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain kes RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat berasa malu apabila Malaysia sekarang ini diketahui di seluruh dunia, diperintah oleh pencuri dan penyamun.
“Pencuri, penyangak, penyamun, perompak. Orang ini yang memerintah negara kita sekarang. Dan kita berasa malu. Dia tak berasa malu, tapi kita berasa malu. Kalau kita nak tebus perasaan malu itu, kita kena singkirkan Datuk Seri Najib (Razak),” katanya berucap pada perhimpunan rakyat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, ketika mengulas kenyataan Najib yang meminta negara di seluruh dunia menghormati Malaysia.
Beliau berkata, seluruh dunia tahu bahawa Najib melesapkan wang 1MDB dan duit itu ada pada rakan rapatnya iaitu Jho Low serta Rosmah Mansor.
Siapa nak hormat Malaysia ditadbir pencuri, kata Tun Dr Mahathir
The post Najib puji Hadi Awang, tempelak Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Najib puji Hadi Awang, tempelak Tun Dr Mahathir
0 Komentar untuk "Najib puji Hadi Awang, tempelak Tun Dr Mahathir"