KASHIMIR, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – Gambar menunjukkan pelajar universiti bertempur dengan polis menjadi simbolik kepada penentangan warga Kashmir terhadap pentadbiran India, yang disifatkan pemimpin pejuang Islam, sebagai fasa baharu konflik di wilayah yang menjadi rebutan India dan Pakistan.
Peningkatan mendadak keganasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, merumitkan tugas pasukan keselamatan India yang terlatih berdepan pemberontakan, tetapi kekurangan peralatan.
Kebuntuan politik di negeri yang dihuni majoriti umat Islam itu adalah satu halangan bagi menyelesaikan pertikaian lama di Kashmir, selepas kebangkitan nasionalisme Hindu di beberapa bahagian di India, sejak Narendra Modi menjadi Perdana Menteri pada 2014.
Apabila pasukan keselamatan India memasuki kampus kolej dan universiti di Pylwama, 30 kilometer di selatan Kashmir – ibu kota musim panas bagi Srinagar, India – ratusan pelajar membaling batu ke arah mereka, sebelum pertempuran berlaku di koridor bangunan dan bilik air.
Dalam masa beberapa hari, bantahan semakin meluas memaksa kebanyakan koleh dan sekolah di Kashmir ditutup. Remaja perempuan pertama kali dalam tempoh beberapa tahun berarak di jalan raya. Sekurang-kurangnya 100 penunjuk perasaan cedera.
“Setiap pelajar mahu mengatakan bahawa kami tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan India,” kata seorang pelajar berusia 19 tahun.
Pergolakan semakin membara di Kashmir – wilayah gerakan pemisah Islam selama beberapa dekad – sejak Julai lalu, apabila seorang pemimpin pejuang yang popular terbunuh, mencetuskan pertempuran berbulan-bulan mengorbankan lebih 90 orang awam.
Pemimpin sederhana kumpulan pemisah Kashmir, Mirwaiz Umar Farooq berkata, buat kali pertama orang ramai menolak permintaan menghentikan tunjuk perasaan.
“Hari ini terdapat kebencian mutlak terhadap India. Penunjuk perasaan enggan lagi mendengar permintaan sesiapa pun,” katanya.
Bekas Ketua Perisik India, AS Dulat berpendapat keadaan di Kashmir tidak seburuk seperti sekarang, manakala jurucakap Kementerian Dalam Negeri India, KS Dhatwalia pula berkata, semua tindakan membaling batu ke arah pihak berkuasa perlu dihentikan sebelum kerajaan sedia bersemuka dengan kumpulan pemisah.
Pemimpin politik tempatan meninggalkan kediaman masing-masing demi keselamatan keluarga di Srinagar. Seorang presiden sebuah parti politik di wilayah Pulwama, Abdul Gani Dar, ditembak mati oleh militan, April lalu – satu daripada beberapa siri serangan terhadap ahli politik tempatan.
Sokongan kepada keganasan terus merebak sehingga di kawasan yang sebelum ini secara tradisinya lebih aman. Pada Mac lalu menyaksikan keganasan besar-besaran di Chadoora, kali pertama berlaku sejak tahun 2000, menyebabkan tiga orang awam maut.
Seorang doktor, Shabir Ahmad berkata, beliau mula memberi sokongan kepada kumpulan pemisah dan penunjuk perasaan selepas adik iparnya berusia 21 tahun ditembak mati di Chadoora.
Shabir, 35, berkata, India hilang Kashmir kerana perbuatan mereka sendiri, malah sentimen Hindu yang dibawa oleh Modi, termasuk pertanyaannya sama ada warga muda Kashmir mahukan pelancongan atau keganasan, menimbulkan kemarahan penduduk tempatan.
Sesetengah warga Kashmir yang tinggal di kawasan lain India, termasuk pelajar, pulang ke kampung halaman selepas berdepan diskriminasi.
Peningkatan serangan terhadap umat Islam, terutama berkaitan penyembelihan lembu – haiwan suci penganut Hindu – juga menimbulkan kebimbangan kepada muslim.
Pembantu Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti, yang mentadbir dengan bantuan parti Bharatiya Janata diketuai Modi, masih berharap Delhi akan mengadakan dialog baharu.
“Kashmir tidak boleh dilihat sebagai kawasan terpencil,” katanya. – Agensi
The post Pelajar simbolik penentangan warga Kashmir terhadap India appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pelajar simbolik penentangan warga Kashmir terhadap India
0 Komentar untuk "Pelajar simbolik penentangan warga Kashmir terhadap India"