Gema Semua Maklumat

Presiden Isma ucap tahniah kepada Ismail Haniyeh

Presiden Isma ucap tahniah kepada Ismail Haniyeh

BANGI, 10 Syaaban 1438H, Ahad – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengucapkan tahniah kepada Ismail Haniyeh yang dipilih sebagai pemimpin tertinggi baharu Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), semalam.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Haniyeh itu dilihat mampu memimpin Hamas untuk fasa akan datang kerana pengalaman luas yang dimiliki beliau sebelum ini.

“Haniyeh mampu menonjolkan kepimpinan beliau dalam Hamas memandangkan pengalaman yang dimilikinya sebelum ini, termasuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri Palestin pada 2006.

“Pastinya, ramai mengharapkan suatu perubahan baharu yang ditonjolkan Haniyeh dalam memimpin Hamas,” katanya.

Haniyeh, 54, memenangi pilihan raya dalaman Hamas dengan undi majoriti, sekaligus melayakkan beliau dilantik sebagai ketua baharu biro politik Hamas, menggantikan Khaled Meshaal.

Haniyeh dilahirkan di kem pelarian Shati pada 23 Mei 1963, di mana ibu bapanya meninggalkan bandar Ashkelon selepas peristiwa Nakba.

Beliau adalah graduan kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza pada 1987, sebelum menerima ijazah kehormat kedoktoran daripada universiti berkenaan pada 2009.

Haniyeh aktif dalam blok Islam – sayap pelajar Ikhwanul Muslimin. Beliau menjadi anggota majlis perwakilan pelajar universiti berkenaan antara 1983 dan 1984, sebelum menjadi presiden majlis berkenaan di mana berlaku perbezaan pendapat antara blok Islam dan Ketua Majlis Belia Fatah, Mohammed Dahlan.

Pada 1989, beliau dipenjara oleh rejim Zionis selama tiga tahun dan kemudian di pindahkan ke Marj al-Zuhour di sempadan Lubnan-Palestin bersama beberapa pemimpin Hamas yang lain.

Selepas tamat hukuman, beliau kembali ke Gaza dan pada 1997 dilantik sebagai ketua pejabat bagi pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin.

Haniyeh dijangka akan terus tinggal di Semenanjung Gaza – wilayah yang ditadbir oleh Hamas sejak 2007. Tidak seperti Meshaal yang tinggal dalam buangan di Doha, Qatar.

The post Presiden Isma ucap tahniah kepada Ismail Haniyeh appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Presiden Isma ucap tahniah kepada Ismail Haniyeh
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Presiden Isma ucap tahniah kepada Ismail Haniyeh"

Back To Top