Gema Semua Maklumat

Semua kandang babi di Melaka beroperasi tanpa lesen

Semua kandang babi di Melaka beroperasi tanpa lesen


MELAKA, 16 Syaaban 1438H, Sabtu – Jabatan Veterinar Melaka akan mengusulkan kertas cadangan bersabit perlesenan ladang babi dalam usaha menyelaras aktiviti penternakan dan perlesenan ladang babi serta pencemaran alam sekitar secara lebih efektif.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata melalui cadangan itu, penternak babi yang tidak mematuhi syarat lesen dan melakukan pencemaran air dengan menyalurkan sisa kumbahan ke dalam sungai akan diambil tindakan tegas termasuk ladang penternakan berkenaan boleh diarah tutup.

“Kertas Cadangan Perlesenan Ladang Babi 2017 ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat sebagai salah satu langkah tegas kerajaan negeri untuk memastikan aktiviti penternakan babi mematuhi syarat ditetapkan.

“Ini kerana semua penternak babi di Melaka sekarang ini tidak mempunyai lesen dan tiada undang-undang khas yang mengawal aktiviti penternakan berkenaan secara holistik dan efektif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan rekod sedia ada, sebanyak 36 ladang babi beroperasi di negeri ini di bawah 30 penternak yang berpusat di sekitar Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Hasan berkata melalui kaedah pelesenan tersebut, semua aktiviti penternakan babi akan dinilai semula dalam pelbagai aspek dan hanya penternak yang mematuhi syarat yang ditetapkan akan dibenar terus beroperasi.

Sementara itu, beliau berkata antara usaha lain yang dilakukan termasuk mengarahkan Badan Kawal Selia Air Melaka mengeluarkan notis kepada semua penternak babi untuk mengambil Lesen Abstraksi Sumber Air bagi menghalang pelepasan sisa kumbahan ke dalam sungai pada 7 Mac lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau isu ini tetapi ia sukar dibendung kerana sikap sebahagian penternak yang degil dengan menjalankan aktiviti tersebut tanpa sistem yang betul selain tiada undang-undang khas yang dapat diambil.

“Saya faham keadaan ini telah lama berlaku tetapi kerajaan negeri sentiasa memantau perkara ini. Kita memang ada ambil tindakan tertentu menggunakan undang-undang sedia ada untuk menangani isu ini dan berharap penduduk beri kami sedikit masa lagi menyelesaikan isu pecemaran ini,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam membangunkan ladang ternakan babi modan di Paya Mengkuang, beliau berkata pihaknya masih menunggu proposal lengkap pembangunan ladang tersebut daripada pemaju yang dijangka dibangunkan selewat-lewatnya pada 2018.

Hasan berkata pembangunan ladang ternakan berkenaan perlu memberi manfaat kepada kerajaan negeri, penduduk dan penternak sekaligus menyelesaikan isu berbangkit terutama berkaitan pencemaran air dan bau.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, Dr Azlan Enjah berkata kertas cadangan tersebut akan mengambil kira beberapa aspek termasuk pengurusn ladang babi, kebersihan ladang dan pematuhan kuota bilangan haiwan berkenaan yang ditetapkan mengikut saiz ladang yang ada.

Beliau berkata pihaknya juga telah melakukan penilaian terhadap permohonan lesen berkenaan tetapi memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri sebelum keputusan perlesenan dimuktamadkan.

“Berdasarkan penilaian awal, sebanyak 22 ladang penternakan babi tidak mematuhi kriteria penilaian yang telah kita tetapkan untuk mendapatkan lesen, manakala 14 lagi didapati mematuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata melalui kaedah perlesenan berkenaan, penguatkuasaan di bawah bidang kuasa Jabatan Veterinar Melaka akan dapat dilakukan secara lebih proaktif.

Justeru, pihaknya berharap kertas cadangan berkenaan dapat diterima kerajaan negeri dan diluluskan segera bagi memastikan isu berbangkit berkaitan pencemaran akibat penternakan babi di kawasan Paya Mengkuang dapat diselesaikan. – Bernama

The post Semua kandang babi di Melaka beroperasi tanpa lesen appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Semua kandang babi di Melaka beroperasi tanpa lesen
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Semua kandang babi di Melaka beroperasi tanpa lesen"

Back To Top