Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 16 Syaaban 1438H, Sabtu – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mencadangkan dan menyarankan beberapa inisiatif sebagai langkah membantu kakitangan kesihatan yang menjalani tugas atas panggilan (on-call).
Presidennya, Prof Dr Azmi Mohd Nor berkata, syor itu adalah susulan pelbagai laporan kes kemalangan membabitkan petugas kesihatan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Katanya, umum sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian seorang doktor perubatan akibat kemalangan dalam perjalanan pulang setelah tamat bertugas selama hampir 33 jam.
“I-Medik mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Nurul Huda Ahmad yang sedang melanjutkan pengajiannya di tahun 3 bidang Paediatrik di Universiti Sains Malaysia, yang meninggalkan suami dan tiga orang anak yang masih kecil akibat terlibat dalam kemalangan pada 9 Mei di Kuala Terengganu dalam perjalanan pulang dari bertugas selama hampir 33 jam.
“Ini mengingatkan kita kepada kes kemalangan maut melibatkan Dr Afifah Mohd Ghazi, seorang pakar bius yang meninggal dunia akibat kemalangan hanya 3 km dari Hospital Sungai Buloh tempat beliau bertugas, pada 9 Julai 2015, dalam perjalanan pulang setelah bertugas atas panggilan selama 32 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan supaya petugas perubatan on-call dibenar mendapat cuti sepenuhnya (post-call off), selain layak menerima elaun bertugas atas panggilan.
“Oleh kerana kemampuan untuk memberi post call off ini hanya boleh dilaksanakan jika jumlah pegawai perubatan di suatu jabatan itu pada angka yang munasabah, justeru itu langkah memberi insentif atau galakan seperti elaun khas kepada pegawai perubatan yang memilih jabatan klinikal dengan jadual on call yang padat adalah suatu yang amat diharapkan.
“Membenarkan tuntutan perjalanan menggunakan khidmat teksi, Uber atau Grabcar setelah tamat tugas atas panggilan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Prof Dr Azmi turut menasihatkan setiap petugas kesihatan untuk mengutamakan kesihatan masing-masing sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.
“I-Medik dengan itu menyarankan agar petugas kesihatan yang menjalani tugas atas panggilan mengambil inisiatif, menggunakan sepenuhnya kemudahan rehat untuk doktor atas panggilan seperti bilik MO bagi mendapatkan rehat.
“Mengamalkan tidur sebentar (napping) sebelum memulakan perjalanan pulang, dan semasa dalam perjalanan. Kajian membuktikan tidur di antara 15-20 minit di tempat rehat dan rawat dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.
Beliau turut menyarankan supaya petugas kesihatan menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti teksi, Uber dan GrabCar selepas tamat bertugas.
“Memohon bantuan keluarga atau rakan mengambil pulang jika keletihan. Ingatlah keluarga tersayang yang menanti kepulangan kita dengan selamat,” katanya.
The post I-Medik syor inisiatif elak kemalangan maut babit doktor post-call berulang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di I-Medik syor inisiatif elak kemalangan maut babit doktor post-call berulang
0 Komentar untuk "I-Medik syor inisiatif elak kemalangan maut babit doktor post-call berulang"