JITRA, 20 Syaaban 1438H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun parti di dalam Pakatan Harapan mempunyai perjuangan masing-masing, tetapi ada satu perkara yang dipersetujui bersama iaitu menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, disebabkan itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju menyertai pakatan berkenaan kerana melalui gabungan dan kerjasama rapat dalam Pilihan Raya Umum (PRU), kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat ditumbangkan.
Namun, bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu berkata, tidak semua apa yang diperjuangkan oleh DAP, PKR dan PAN dipersetujui oleh Bersatu.
“Saya bagi tau kalau nak menang, kita mesti gabung dalam satu pakatan iaitu Pakatan Harapan. Bukan kita setuju dengan apa yang mereka perjuangkan.
“DAP, PKR, Amanah ada perjuangan sendiri. Tapi ada satu perkara yang mereka perjuang dan Bersatu juga perjuangkan iaitu menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya berucap dalam program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Tanah Merah, Jitra, sebentar tadi.
Lebih 3,000 orang hadir pada program berkenaan. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Bersatu yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, turut hadir.
Sehubungan itu, Tun Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan bersetuju meletakkan seorang calon sahaja daripada gabungan itu, sama ada daripada DAP, Bersatu, PKR atau PAN.
“Satu calon tapi penyokong empat parti akan beri sokongan dan undi untuk calon ini. Barulah jumlah undi akan lebih tinggi dan akan mencapai kemenangan,” katanya.
Beliau mengulangi pendirian Bersatu menyertai Pakatan Harapan bahawa tanpa kerjasama antara parti lawan, pembangkang tidak mungkin menang dalam PRU.
Oleh itu, katanya, pakatan ini amat penting dan jika hanya memikirkan perjuangan masing-masing parti dengan tujuan yang berlainan, ia tidak memberi kebaikan, tetapi semua parti mencapai persetujuan apabila perjuangannya adalah untuk menjatuhkan Najib.
“Memang betul, dalam pakatan ini ada DAP, ada Kit Siang, musuh ketat saya dulu. Dia panggil saya macam-macam dulu. Tapi yang penting kita bekerjasama dengan DAP. Saya akui dalam DAP ada bukan Islam.
“Dulu PAS kata UMNO ini kafir sebab bekerjasama dengan MCA dan MIC. Tetapi apabila PAS teringat hendak bekerjasama dengan DAP, dia guna bahasa Arab. Kalau dia maki pun nampak macam baca Quran,” katanya sambil menceritakan suatu masa dulu beliau mempunyai seorang rakan yang belajar di Maktab Mahmud Alor Setar yang rajin bercakap Arab seperti membaca al-Quran, tetapi apabila ditanya, rakannya menjawab dia sedang memaki hamun.
Tun Dr Mahathir berkata, apabila PAS hendak bekerjasama dengan DAP, parti itu menggunakan perkataan Arab tahaluf siyasi dan memetik ayat-ayat al-Quran untuk menghalalkan kerjasama itu.
“Sekarang PAS nak bekerjasama dengan UMNO. Dulu dia kata UMNO kafir. Hari ini dia nak bekerjasama dengan UMNO. Bila dia nak buat dosa, maka dia halalkan dosa. Cari majlis ulama untuk cuba menghalalkan benda yang dulunya dia kata haram. Inilah PAS. PAS bukan parti Islam,” katanya.
The post Tak semua perjuangan parti dalam Pakatan Harapan kita setuju, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tak semua perjuangan parti dalam Pakatan Harapan kita setuju, kata Tun Dr Mahathir
0 Komentar untuk "Tak semua perjuangan parti dalam Pakatan Harapan kita setuju, kata Tun Dr Mahathir"