BANGI, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Yayasan Ikhlas (YI) memperluaskan lagi misi kemanusiaannya dengan melancarkan projek terbaru ‘Need Your Help For Cambodia’ atau lebih dikenali sebagai ‘HELP’.
Projek berkenaan disasarkan bagi membantu kawasan perkampungan masyarakat Islam di Kemboja, yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan terutamanya dari sudut keperluan air bersih dan pendidikan.
Menerusi projek kemanusiaan itu, YI merancang untuk membina dan menambah baik infrastruktur di perkampungan berkenaan, termasuklah telaga tiub bagi sumber air bersih, bangunan sekolah rendah dan sumbangan daging aqiqah serta qurban.
Pengurus Besarnya, Ir Hj Kamaruddin Kassim berkata, sumbangan itu akan diserahkan secara berperingkat oleh wakil pertubuhan itu di Kemboja.
“Sumbangan serta kerjasama dari mana-mana pihak amat dialu-alukan bagi menjayakan projek ini.
“Small action with great love will make change…,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, Yayasan Ikhlas telah menghantar tiga orang wakil bagi menjalankan misi riki pada 21 Mac hingga 26 Mac lalu, di dua buah kampung yang mengambil masa lebih dari lima jam perjalanan.
Salah seorang wakilnya, Mohamad Fathil Aqil Abdullah berkata, sejarah menyaksikan nasib malang masyarakat Cham iaitu bangsa dari kerajaan Melayu Champa, ketika pemerintahan kuku besi Khmer Rouge oleh Pol Pot sekitar 1975 hingga 1979.
Polisi kerajaan pimpinan Pol Pot yang taksub pada ajaran komunis menyebabkan masyarakat Cham juga menjadi mangsa utama kekejamannya dimana para ulama, ustaz dan imam dibunuh beramai-ramai, katanya.
“Dalam masa sesingkat tiga tahun lapan bulan dan 10 hari sahaja, dianggarkan setengah juta masyarakat Islam terutamanya yang berbangsa Cham telah dibunuh secara kejam dan hanya sejumlah 100 000 orang sahaja yang tinggal pada ketika itu.
” Biarpun ketika ini keadaan kembali kembali aman di Kemboja, namun parut kezaliman Pol Pot masih mengesani masyarakat Cham di Kemboja dan ia terbukti bila melihat kelompongan individu yang terkehadapan dalam memimpin masyarakat Cham untuk menjana pendapatan hidup serta pendidikan dengan lebih baik masih belum selesai.
“Oleh yang demikian, majoriti dari mereka ini masih hidup di bawah kadar kemiskinan yang amat dahsyat,” katanya.
The post Yayasan Ikhlas lancar ‘HELP’ bantu masyarakat Islam Kemboja appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Yayasan Ikhlas lancar ‘HELP’ bantu masyarakat Islam Kemboja
0 Komentar untuk "Yayasan Ikhlas lancar ‘HELP’ bantu masyarakat Islam Kemboja"