LONDON, 10 Ramadan 1438H, Isnin – Sekurang-kurangnya 12 individu ditangkap di Barking, timur London, kerana disyaki ada kaitan dengan serangan di London Bridge yang menyebabkan tujuh terbunuh dan 47 lagi cedera, kata Kementerian Dalam Negeri Britain.
Menteri Dalam Negeri, Amber Rudd berkata, tiga lelaki yang bertanggungjawab dalam serangan itu adalah militan Islam radikal.
Tatkala warga kota London sedang berhibur pada hari Sabtu, serangan pun berlaku. Van putih dipandu laju merempuh pejalan kaki di atas jambatan London. Tiga lelaki kemudian keluar menuju Borough Market berdekatan yang ketika itu sibuk dan mula menikam orang ramai.
Ketiga-tiga mereka ditembak mati oleh lapan anggota polis metropolitan London. Orang awam turut terkena tembakan secara tidak sengaja.
Ia adalah serangan ketiga pengganas di Britain dalam tempoh tiga bulan, selepas serangan menggunakan kereta dan pisau di Westminster pada Mac, di mana lima orang terbunuh, dan pengeboman dalam sebuah konsert di Arena Manchester, kurang dua minggu lalu, di mana 22 orang terbunuh.
Serangan semalam berlaku, sehari sebelum pilihan raya umum di Britain. Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, kempen yang terhenti selepas kejadian akan disambung semula hari ini dan pilihan raya akan diadakan mengikut jadual Khamis ini.
“Kami percaya bahawa kami sedang mengalami satu gaya baharu dalam ancaman yang dihadapi. Walaupun serangan tidak dikaitkan dari segi perancangan dan pelaksanaan, mereka dikaitkan dalam erti kata penyerang meniru satu sama lain dan sering menggunakan cara paling kasar melakukan serangan,” katanya.
Stesen jambatan London ditutup selepas serangan itu, sementara polis meminta penduduk tempatan dan pelancong supaya mengelak menggunakan jambatan London atau mengunjungi Borough Market.
Serangan itu dikatakan berlaku beberapa minit selepas berakhirnya Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Juventus, di kawasan dipenuhi bar di mana ramai peminat bola sepak menyaksikan kejohanan itu, sambil berhibur.
Laporan pertama menyebut serangan menggunakan van berkenaan berlaku jam 10,08 malam, manakala insiden menikam orang ramai berdekatan Borough Market di bahagian hujung selatan jambatan London, berlaku beberapa minit kemudian.
Polis berkata, penyerang memakai jaket baha letupan palsu dan antara yang cedera adalah anggota polis yang tiba awal di tempat kejadian yang ditikam di muka dan kaki. – Agensi
Serangan London berlaku depan rumah saya, kata pelajar Malaysia
The post 12 ditangkap disyaki ada kaitan serangan van, tikam di London appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 12 ditangkap disyaki ada kaitan serangan van, tikam di London
0 Komentar untuk "12 ditangkap disyaki ada kaitan serangan van, tikam di London"