Gema Semua Maklumat

1MDB: PAS akan hantar memorandum kepada SPRM

1MDB: PAS akan hantar memorandum kepada SPRM

BANGI, 6 Syawal 1438H, Jumaat – PAS dan sekutunya akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut dan dakwaan penyelewengan dana syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, parti itu tegas menolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syarak, seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman riba dan sebagainya.

Katanya, dalam isu 1MDB, PAS mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urus tadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membanteras politik wang.

“Dalam masa yang sama, PAS konsisten atas apa jua dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat oleh satu badan siasatan yang profesional dan telus. Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak.

“PAS bersama Gagasan akan menghantar memorandum kepada SPRM tidak berapa lama lagi guna menjelaskan penyelesaian fundamental mengenai isu rasuah yang membarah, termasuklah berkait 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrudin menegaskan bahawa PAS mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan ‘roadmap’ perjuangannya serta tidak terikat dengan mana-mana pihak.

“PAS kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya.

“Kerajaan perlu menunjukkan ketelusan sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan agensi negara seperti SPRM, polis, Bank Negara dan Peguam Negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat. PAS melahirkan kebimbangan dengan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut,” katanya.

The post 1MDB: PAS akan hantar memorandum kepada SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 1MDB: PAS akan hantar memorandum kepada SPRM
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "1MDB: PAS akan hantar memorandum kepada SPRM"

Back To Top