Gema Semua Maklumat

Tun M jangka Najib akan tangkap pemimpin pembangkang untuk menang PRU14

Tun M jangka Najib akan tangkap pemimpin pembangkang untuk menang PRU14

BANGI, 6 Syawal 1438H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan menangkap dan menahan pemimpin pembangkang, bertujuan mengkucar-kacirkan parti politik, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengimbas semula Bersih 5, beliau berkata, Najib memberi jaminan tidak akan menyekat demonstrasi itu, tetapi semua orang tahu beliau bermati-matian berusaha menghalangnya daripada terus diadakan atau mengurangkan skalanya.

Beliau berkata, walaupun, Bersih 5 mematuhi hampir semua syarat dikenakan, beberapa hari sebelum demonstrasi diadakan, pemimpin utama – Maria Chin Abdullah dan sembilan yang lain ditangkap.

“Maria dihumban ke dalam bilik yang sejuk dan gelap. Ini merupakan satu penyeksaan. Demonstrasi tetap berjalan tanpa ramai daripada pemimpin mereka.

“Beberapa hari selepas demonstrasi berakhir barulah Maria dan yang lain-lain dibebaskan. Ianya juga kerana ramai yang melakukan protes secara senyap di Dataran Merdeka setiap malam. Inilah salah satu cara Najib untuk menakutkan pembangkang,” kata menulis dalam blog beliau semalam.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, daripada episod ini dapat menjangkakan Najib akan bertindak untuk menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat ketika PRU14 nanti.

“Terdapat beberapa tanda-tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti. Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang.

“Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan.

“Undi untuk pembangkang akan merosot. Dan semasa ketiadaan pemimpin, Najib boleh rasuah rakyat dan pekerja parti sesungguh hatinya. Mereka akan lakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, pekerja pilihan raya dan juga pegawai mungkin akan menyalaharahkan pengundi, dan undian akan dimanipulasi.

“Ramai yang tidak akan boleh buang undi sama sekali. Undi pos akan di “hijack” dan dipindahkan bagi menaikkan jumlah undi di kawasan calon-calon penting BN.

“Secara dasar Malaysia bukan lagi sebuah demokrasi. Kita kini di klasifikasikan sebagai sebuah kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin pencuri. Tahap penipuan dalam Pilihanraya akan menjadikan ianya tidak bererti sama sekali. Ianya memalukan,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara mungkin tidak bersetuju, tetapi Malaysia telah pun menjadi negara polis atau ‘Police State’ dan sama ada arahan itu bertentangan dengan undang-undang negara atau tidak, polis telah menunjukkan yang mereka bersedia mengambil tindakan.

“Mereka akan tahan pemimpin pembangkang walaupun sedar yang mereka ini tidak pun melakukan apa-apa kesalahan. Mereka akan menganggu-gugat orang, memanggil untuk disoal-siasat dan diancam. Kesemua ini telah dilakukan dan ianya dilakukan dengan persetujuan KPN.

“Semua ini akan berlaku lagi semasa pilihan raya diadakan. Tetapi Najib juga boleh untuk tidak adakan pilihan raya. Ianya di bawah bidang kuasa dia untuk berbuat sedemikian. Undang-undang tidak akan menghalangnya. Hanya dengan mengisytiharkan darurat, walaupun hakikatnya tidak pun timbul situasi sebegitu dia boleh gantung perlembagaan,” katanya.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Najib akan mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, walaupun tahu yang pemimpin mereka ini menyalahguna kuasa dan sedar siasatan serta tuduhan terhadap Najib oleh beberapa badan siasatan negara asing.

“Mereka tahu tentang laporan jenayah oleh Department of Justice Amerika Syarikat, penahanan individu dan penutupan bank-bank di Singapura yang terpalit dengan skandal 1MDB. Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan Najib bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan. Dia telah menghancurkan UMNO dan negara.

“Said Keruak, Annuar Musa, Zahid Hamidi, Hishamuddin, Mustapa Mohamad, pemimpin-pemimpin MCA dan MIC dan kesemua Menteri Kabinet sedikit pun tidak ambil kisah. Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi Kerajaan yang baik yang telah dibina pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai diantara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah,” katanya.

The post Tun M jangka Najib akan tangkap pemimpin pembangkang untuk menang PRU14 appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tun M jangka Najib akan tangkap pemimpin pembangkang untuk menang PRU14
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Tun M jangka Najib akan tangkap pemimpin pembangkang untuk menang PRU14"

Back To Top