Gema Semua Maklumat

Arab Saudi, UAE, Mesir bakal cetus Arab Spring baharu

Arab Saudi, UAE, Mesir bakal cetus Arab Spring baharu

Abdel Fattah al-Sisi, menerima kunjungan Raja Salman dan  Sheikh Mohammed bin Zayed. Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, awal bulan ini. – Gambar AFP

DUBAI, 3 Syawal 1438H, Selasa – Ketua Perkhidmatan Keselamatan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dhahi Khaldan Tamim menjangkakan Arab Spring yang baharu di rantau Teluk akan diketuai oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman; Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

Menerusi tulisan dalam laman Twitternya semalam, beliau menyatakan secara tersirat bahawa ketiga-tiga pemimpin (merujuk kepada Raja Salman sebagai Penjaga Dua Masjid Suci) yang telah lama dilihat sebagai penentang pergerakan pro-demokrasi pada 2011 di Timur Tengah dan utara Afrika, akan membawa gelombang reformasi baharu di rantau ini.

“Arab Spring berikutnya akan diketuai oleh tiga, Penjaga Dua Masjid Suci, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan yang mulia Sheikh Mohammed bin Zayed,” katanya.

Arab Spring adalah siri tunjuk perasaan antikerajaan dan pemberontakan bersenjata yang merebak di Timur Tengah pada awal 2011. Tetapi tujuan, kejayaan dan hasilnya terus dipertikaikan di negara-negara Arab, kalangan pemerhati asing, dan di antara kuasa besar dunia dalam perubahan peta di Timur Tengah.

Istilah Arab Spring dipopularkan oleh media Barat pada awal 2011 setelah kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia menentang bekas pemimpin Zine El Abidine Ben Ali, menjadi ilham mencetuskan tunjuk perasaan antikerajaan, di kebanyakan negara Arab.

Istilah ini pada awalnya merujuk kepada kekacauan di Eropah Timur pada tahun 1989, apabila rejim komunis yang tidak dapat ditembusi mulai jatuh di bawah tekanan tunjuk perasaan rakyat yang memberi kesan seperti ‘domino’. Dalam masa yang singkat, kebanyakan negara dalam blok komunis mula mengamalkan sistem politik demokratik dan ekonomi pasaran.

Tetapi peristiwa di Timur Tengah berlaku secara tidak langsung tanpa arahan. Mesir, Tunisia, dan Yaman memasuki tempoh peralihan yang tidak menentu, manakala Syria dan Libya ditarik ke dalam konflik awam, tetapi negara monarki yang kaya di Teluk Parsi masih tidak goyah oleh kejadian itu. Penggunaan istilah Arab Spring mendapat kritikan kerana tidak tepat.

Komen Dhahi dibuat tatkala krisis diplomatik antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Qatar, semakin meningkat.

Pertikaian itu meletus apabila Arab Saudi, UAE, Mesir, Bahrain dan beberapa negara lain memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun lalu, dengan mendakwa Doha menyokong pengganas. Bagaimanapun, Qatar menafikannya. – Agensi

The post Arab Saudi, UAE, Mesir bakal cetus Arab Spring baharu appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Arab Saudi, UAE, Mesir bakal cetus Arab Spring baharu
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Arab Saudi, UAE, Mesir bakal cetus Arab Spring baharu"

Back To Top