SEREMBAN, 9 Ramadan 1438H, Ahad – ‘Berkodim’ atau ‘masuk suku’ dalam Adat Perpatih bermaksud ‘menjadi ahli’ atau ‘anggota’, sementara ‘suku’ pula panggilan bagi suatu kelompok kekeluargaan yang terbesar dalam kalangan masyarakat adat.
Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku utama iaitu Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggang, Tanah Datar, Seri Lemak, Mungkal, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh, Batu Belang dan Tiga Batu manakala setiap anggota masyarakat Adat Perpatih ialah ahli keluarga atau anggota kepada salah satu daripada suku-suku tersebut.
Keanggotaan seseorang ahli masyarakat Adat Perpatih mengikut suku ibu iaitu jika ibunya anggota suku Biduanda maka anak-anaknya akan bersuku Biduanda.
Manakala individu yang tidak mengamalkan Adat Perpatih boleh jadi ahli masyarakat adat dengan syarat dia menjadi ‘anak angkat’ kepada salah satu daripada 12 suku berkenaan dan proses menjadi anak angkat ini yang dikatakan oleh umum sebagai ‘masuk suku’.
Justeru, perbuatan masuk suku ini adalah satu proses menjadi anak angkat kepada salah satu suku dalam masyarakat Adat Perpatih.
Istilah adat bagi perbuatan ‘masuk suku’ ini adalah ‘berkodim’ iaitu bermaksud bersaudara dan bersaudara bermakna menjalin ikatan kekeluargaan.
Ikatan kekeluargaan yang terjalin bukan terhad dengan keluarga yang menerima seseorang itu sebagai anak angkat tetapi seluruh kelompok kekeluargaan iaitu semua anggota suku keluarga angkatnya.
Juru Rujuk Adat Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 77, berkata berkodim bermaksud pengakuan bersaudara dan ia terbahagi kepada dua iaitu Aur Serumpun dan Sebilah Lantai Selayar Atap.
Beliau yang juga Tiang Balai Luak Ulu Muar berkata Aur Serumpun adalah berkodim yang melibatkan pemberian tanah pusaka dengan diisi oleh adat lembaga dan penyembelihan seekor kerbau.
“Aur Serumpun juga adalah merupakan berkodim adat serta pusaka dan bertepatan sebagaimana yang disebut dalam adat ‘kok perahu bertambagan, kok dagang bertepatan, kok galas bersandaran, kok beban berletakkan’. Manakala Sebilah Lantai Selayar Atap pula adalah berkodim yang melibatkan masuk suku sahaja dan tiada berkaitan dengan pemberian harta pusaka.
Dalam Sebilah Lantai Selayar Atap pengisian adat dilakukan oleh buapak, besar waris serta ibu soko dan penyembelihan seekor kambing. Selain daripada itu tambahnya lagi adat berkodim Sebilah Lantai Selayar Atap juga disebut sebagai berkodim pinang sebatang,” katanya di sini, hari ini.
Baru-baru ini LMNS yang diketuai Penolong Kurator, Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti, Asrul Effendi Kamaruzzaman telah menjalankan kajian adat berkodim di Batu Kikir, Kuala Pilah bertujuan untuk mengiventorikan adat berkodim sebagai warisan yang terdapat di negeri ini.
“Adalah diharapkan masyarakat khususnya generasi muda dapat mengetahui akan keunikan adat berkodim dalam pengamalan Adat Perpatih. Saya merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih kepada Khalid Bonget yang telah membantu menjayakan kajian ini. Pihak LMNS sentiasa turun padang menjalankan kajian bersama dengan Datuk-Datuk penyandang pesaka adat dan mereka yang pakar berkaitan dengan adat,” katanya.
Katanya setakat ini sebanyak 13 kajian telah dijalankan termasuk peralatan adat serta sejarah asal usul luak berpenghulu dan menjadi sumber rujukan kepada para penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat secara langsung dalam bidang berkaitan. – Bernama
The post Berkodim: Proses menjadi ahli suku di bawah Adat Perpatih appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Berkodim: Proses menjadi ahli suku di bawah Adat Perpatih
0 Komentar untuk "Berkodim: Proses menjadi ahli suku di bawah Adat Perpatih"