JOHOR BAHRU, 9 Ramadan 1438H, Ahad – Rakan kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia akibat didera, kelmarin mendedahkan, Zulfarhan Osman Zulkarnain didera gara-gara seorang bomoh mendakwa dia merupakan individu yang mencuri komputer riba suspek.
Bapa saudara Zulfarhan berkata, rakan mangsa mendedahkan perkara itu kepada ibu mangsa, Hawa Osman menerusi mesej WhatsApp.
Dalam mesej itu rakan yang tidak dinamakan itu menyatakan, mangsa telah dipukul sebelum Ramadan kerana dituduh mencuri walaupun dia bukan satu-satunya pelajar yang disyaki.
“Tapi Paan (Zulfarhan) jadi suspek sebab orang tanya bomoh la bagi keluar nama dia. Lepas tu nak bagi dia mengaku, kawan-kawan pukul dia beramai-ramai.
“Arwah kena pukul dua hari sebab tidak mengaku,” tulis mesej WhatsApp itu.
Sementara itu, pihak polis kini sedang berusaha menjejaki bomoh yang didakwa menyebut nama arwah dalam kes kecurian itu dan doktor sebuah klinik swasta yang merawat mangsa pada 27 dan 31 Mei lalu untuk diambil keterangan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pihaknya akan menyiasat segala kemungkinan berkaitan dengan kes penderaan siswa ini.
“Selain doktor itu, kami juga akan menjejaki dan merakam keterangan bomoh yang didakwa menyebut nama arwah sebagai individu yang mencuri komputer riba.
“Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa Allahyarham mengaku tindakannya (mencuri laptop).
“Sehingga ini, tiada penahanan dilakukan namun jika perlu berdasarkan bukti hasil siasatan, kami akan membuat penahanan lain,” katanya.
The post Bomoh ‘petik’ nama punca penuntut UPNM didera appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bomoh ‘petik’ nama punca penuntut UPNM didera
0 Komentar untuk "Bomoh ‘petik’ nama punca penuntut UPNM didera"