BESUT, 5 Syawal 1438H, Khamis – Seorang kanak-kanak lelaki dari Felda Tenang, Hulu Besut meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya awal pagi semalam.
Ekoran kejadian itu polis menahan seorang buruh lelaki berumur 38 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak berumur 5 tahun 2 bulan itu, hari ini.
Ketua Polis daerah Besut, Suprintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kanak-kanak itu dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Bilik Kecemasan, Hospital Daerah Besut kira-kira jam 3.30 pagi semalam, tetapi mendapati mangsa telah meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan.
Katanya, ketika menghantar kanak-kanak itu mendapatkan rawatan, suspek mendakwa mangsa terjatuh dan dihempap motosikal yang dinaiki bersamanya di jalan ladang di tanah rancangan tersebut pada malam kelmarin.
“Bagaimanapun, doktor yang memeriksa mangsa mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada tubuh mangsa dan mengesyaki sesuatu sebelum melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya dalam kenyataan media di sini petang semalam.
Katanya, berdasarkan siasatan awal kecederaan mangsa serta keterangan yang diperoleh daripada ibu mangsa seorang suri rumah berumur 27 tahun, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mohd Zamri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi menjalani bedah siasat oleh pakar forensik perubatan dari Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, bapa tiri mangsa kini ditahan dan akan direman hari ini.
Suspek yang bekerja sebagai buruh didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kes mendera kanak-kanak. – Bernama
The post Budak lelaki meninggal dipercayai didera bapa tiri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Budak lelaki meninggal dipercayai didera bapa tiri
0 Komentar untuk "Budak lelaki meninggal dipercayai didera bapa tiri"