Gema Semua Maklumat

Ketua Polis Negara nafi Dr Mahmud terbunuh di Marawi

Ketua Polis Negara nafi Dr Mahmud terbunuh di Marawi

SEREMBAN, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan berita bahawa bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina.

Katanya, beliau baharu sahaja mendapat maklumat bahawa berita yang menyatakan Dr Mahmud terbunuh adalah tidak benar.

“Berkenaan dengan Dr Mahmud, banyak yang bertanya, sama ada dia betul telah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina. Saya baharu sahaja dapat maklumat bahawa berita yang menyatakan dia terbunuh itu adalah tidak benar.

“Jadi maknanya dia masih hidup lagi. Kita percaya dia masih lagi berada di Marawi City bersama-sama dengan kumpulannya mempertahankan Marawi City. Saya menafikan berita bahawa Dr Mahmud telah terbunuh,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Nurul Iman, Kampung Gebok, Mantin hari ini.

Khalid berkata, Mahmud menjadi antara perancang utama serang di Marawi.

Katanya, Mahmud antara mereka yang penting dalam melancarkan serang dan apa yang berlaku di Marawi sekarang.

“Dia antara perancang utamanya dan sudah semestinya dia ini menjadi sasaran utama bukan sahaja kita, malah oleh pihak berkuasa Filipina. Saya juga ingin mengesahkan bahawa orang Malaysia yang berada di Marawi sebenarnya tidak ramai.

“Ada beberapa orang sahaja dan kita percaya sekurang-kurangnya empat orang telah terbunuh dan ada beberapa orang lagi yang kita belum dapat kenal pasti. Jadi kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Filipina untuk mereka membantu kita mengenal pasti mereka-mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, sebelum insiden di Marawi itu. terdapat jemaah tabligh dari Malaysia yang telah pergi ke Selatan Filipina termasuk di Marawi City.

“Jadi kami sedang mengumpul maklumat sama ada mereka yang terlibat dalam jemaah tabligh ini sudah pulang ke Malaysia atau pun ada yang masih berada di Filipina. Jadi siasatan sedang kita buat,” katanya. – Bernama

The post Ketua Polis Negara nafi Dr Mahmud terbunuh di Marawi appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ketua Polis Negara nafi Dr Mahmud terbunuh di Marawi
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ketua Polis Negara nafi Dr Mahmud terbunuh di Marawi"

Back To Top