Gema Semua Maklumat

RCI Forex untuk alih perhatian skandal besar 1MDB babit Najib, keluarga

RCI Forex untuk alih perhatian skandal besar 1MDB babit Najib, keluarga

BANGI, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian tukaran asing (Forex) Bank Negara pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad 25 tahun lalu adalah cubaan mengalih perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB yang disiasat di lebih lima negara serta saman oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Ia juga dilihat sebagai usaha membalas dendam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Tun Dr Mahathir yang mengkritik beliau secara keras dan tegas dalam isu penyelewengan dan kehilangan wang 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, tetapi pada masa sama RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib.

Malah, selepas Tun Dr Mahathir mula mengkritik pentadbiran negara barulah Najib mahu supaya kerugian Bank Negara disiasat. Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletak jawatan? Apa pula muslihat Najib menubuhkan suruhanjaya ini?

Kritikan pedas Tun Dr Mahathir terhadap Najib dan pentadbirannya, termasuk mengatakan Perdana Menteri Malaysia adalah pencuri dan perompak wang rakyat, menyebabkan pentadbiran Najib berusaha memadam pelbagai legasi yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir dan bertindak ke atas mereka yang rapat dengan bekas Perdana Menteri 22 tahun itu. Antaranya, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir diganti dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Najib sudah tidak mampu lagi menjawab pelbagai persoalan yang melingkari 1MDB, terutama pembabitan dirinya sendiri dan ahli keluarganya secara langsung dalam penyelewengan wang 1MDB.

Beliau berkata, keperluan yang amat mendesak ketika ini ialah untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat penyelewengan dalam 1MDB.

“Suruhanjaya ini perlu menyiasat sejauh manakah pembabitan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam membuat keputusan-keputusan mengenai kewangan 1MDB sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB?

“Bagaimana wang 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dan wang SRC International sebanyak RM42 juta boleh masuk ke akaun peribadi Najib? Untuk apakah wang ini dibelanjakan dan siapakah penerima-penerima wang ini? Bagaimana Jho Low, Riza Aziz, Tarek Obaid dan beberapa orang pegawai 1MDB boleh mengumpulkan wang dan aset bernilai berbilion ringgit hasil urusniaga 1MDB?

“Apakah hubungan Jho Low dan Najib? Apa sebenarnya kandungan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sehinggakan laporan ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi?Suruhanjaya ini juga boleh menyiasat apa yang telah terjadi kepada bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Pasukan Petugas Khas siasatan 1MDB yang diketuai oleh mantan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail. Mengapa hingga ke hari ini tiada sebagang laporan daripada pasukan petugas khas ini yang didedahkan untuk pengetahuan umum?

“Jika laporan Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian urusniaga matawang asing Bank Negara Malaysia yang berlaku 25 tahun dahulu boleh disiapkan dalam tempoh 4 bulan dan dibentangkan dalam Kkabinet, kenapa tiada sebarang laporan mengenai hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB dibentangkan dan dilaporkan kepada umum setelah 2 tahun berlalu? Kedua-dua pasukan petugas khas ini diwujudkan ketika Najib adalah Perdana Menteri,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Najib tidak perlu bersikap ‘double-standard’ dalam kedua-kedua kes ini, sebaliknya jika benar-benar mahu mencari kebenaran, maka sebuah RCI menyiasat penyelewengan 1MDB perlu ditubuhkan segera.

“Siasatan ke atas IMDB bukan hanya berkisar tentang pembabitan Najib, tetapi ia juga merangkumi isu tadbir urus yang amat lemah sehingga menyebabkan kehilangan wang rakyat yang cukup besar melebihi RM50 bilion, kesan pecah amanah yang amat teruk dan nasib buruk yang menimpa rakyat.

“Apa lagi dengan pendedahan terkini oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan saman sivil yang sedang dilakukan untuk menyita dan seterusnya merampas aset-aset yang diperolehi secara haram dengan menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, keputusan Kabinet untuk menubuhkan RCI menyiasat kerugian Forex Bank Negara dalam urusniaga matawang asing lebih 25 tahun yang lalu adalah sesuatu yang aneh.

“Jika benar Najib hendak mencari kebenaran dalam isu kerugian urusniaga ini, beliau sepatutnya telah bersuara mengenainya ketika beliau berada di dalam Kabinet Tun Dr Mahathir 25 tahun yang lalu. Jika tidak di dalam Kabinet, beliau boleh menyuarakannya di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang mana pada ketika itu beliau adalah Naib Presiden.

“Saya tidak ingat Najib pernah menyuarakan hal ini dan menegur Tun Mahathir dalam mana-mana mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu. Begitu juga ketika saya berada di dalam Kabinet Tun Mahathir bersama-sama beliau pada ketika itu, saya tidak pernah ingat Najib membangkitkan perkara ini dalam mana-mana mesyuarat Kabinet,” katanya.

The post RCI Forex untuk alih perhatian skandal besar 1MDB babit Najib, keluarga appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di RCI Forex untuk alih perhatian skandal besar 1MDB babit Najib, keluarga
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "RCI Forex untuk alih perhatian skandal besar 1MDB babit Najib, keluarga"

Back To Top