Gema Semua Maklumat

Turki enggan tutup pangkalan tentera di Qatar

Turki enggan tutup pangkalan tentera di Qatar

ISTANBUL, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Ankara tidak berminat dengan desakan Arab Saudi untuk menutup pangkalan tenteranya di Qatar, kerana ianya memberi manfaat kepada rantau Teluk, kata Menteri Pertahanan Turki, Fikri Isik.

Menutup pangkalan Turki adalah antara 13 tuntutan beberapa negara diketuai Arab Saudi dan rejim Mesir terhadap Doha, selepas mereka memutuskan hubungan diplomatik dan menyekat sistem pengangkutan dari Qatar ke negara mereka, katanya.

“Jika ada tuntutan seperti itu, ia adalah campur tangan dalam hubungan dua hala,” katanya kepada badan penyiaran NTV.

Semalam, lima kereta perisai bersama 23 anggota tentera Turki tiba di Qatar sebagai sebahagian daripada kerjasama ketenteraan antara dua negara. Terdapat 88 anggota tentera Turki ditempatkan di Qatar dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 1,000 anggota. Perjanjian penempatan pangkalan itu ditandatangani Ankara dan Doha pada 2014.

“Pengukuhan pangkalan tentera Turki adalah langkah positif bagi keselamatan di rantau Teluk. Mengkaji semula perjanjian dengan Qatar bukanlah agenda kami,” katanya sambil menambah bahawa Turki tidak menerima tuntutan penutupan pangkalannya di Qatar terus daripada negara-negara terbabit.

Keretakan hubungan antara negara-negara Teluk baru-baru ini adalah kesinambungan daripada konflik berterusan berikutan beberapa isu, termasuk tuduhan Qatar menyokong Ikwanul Muslimin berpangkalan di Mesir, membantu pergerakan pejuang Islam Palestin (Hamas), mengadakan hubungan ekonomi dengan Iran dan menggunakan stesen televisyen satelit Al Jazeera untuk campur tangan dalam hal ehwal negara lain.

Arab Saudi dan sekutunya mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas, Iran sebagai musuh dan Al Jazeera sebagai alat Qatar untuk mencampuri urusan dalaman mereka.

Ankara baru-baru ini, meningkatkan tiga kali ganda eksportnya ke Doha sejak sistem pengangkutan Qatar disekat. Satu-satunya laluan darat Qatar adalah melalui Arab Saudi dan kini negara itu bergantung kepada pengangkutan laut dan udara. – Agensi

The post Turki enggan tutup pangkalan tentera di Qatar appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Turki enggan tutup pangkalan tentera di Qatar
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Turki enggan tutup pangkalan tentera di Qatar"

Back To Top