Gema Semua Maklumat

Serangan di Masjid Finsbury tanda Islamophobia di Eropah meningkat: OIC

Serangan di Masjid Finsbury tanda Islamophobia di Eropah meningkat: OIC

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1438H, Selasa – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam serangan keganasan terhadap umat Islam berhampiran Masjid Finsbury Park, London Isnin lalu, yang dikhuatiri berpunca daripada peningkatan gejala Islamophobia di Eropah.

Pertubuhan itu dalam satu kenyataan media berkata, serangan yang menyasarkan penganut mana-mana agama adalah serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

Setiausaha Agungnya, Dr Yousef Al-Othaimeen berkata insiden tersebut amat mendukacitakan, dan ia berlaku selepas beberapa siri serangan keganasan di United Kingdom (UK) yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan serangan balas terhadap umat Islam.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat UK serta menggesa pihak berkuasa membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Beliau turut menegaskan prinsip dan pegangan 57 negara anggota OIC yang menolak sebarang bentuk perbuatan keganasan.

Dalam insiden itu, sebuah van merempuh jemaah masjid yang baharu sahaja selesai berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih, menyebabkan seorang terbunuh dan 10 yang lain cedera.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kebimbangan serangan balas dilakukan terhadap umat Islam, susulan dua serangan maut di UK iaitu di Manchester Arena dan London Bridge, baru-baru ini. Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan tersebut.

Ia juga kes ketiga di London melibatkan suspek yang menggunakan kenderaan untuk menyerang orang awam sejak Mac lalu.

Polis menahan seorang lelaki, Darren Osborne, 47 berasal dari Cardiff, Wales, yang dipercayai terlibat dalam serangan berdarah itu untuk siasatan lanjut.- Bernama

The post Serangan di Masjid Finsbury tanda Islamophobia di Eropah meningkat: OIC appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Serangan di Masjid Finsbury tanda Islamophobia di Eropah meningkat: OIC
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Serangan di Masjid Finsbury tanda Islamophobia di Eropah meningkat: OIC"

Back To Top