Gema Semua Maklumat

Tahanan lolos: Anggota polis IPD Klang Utara digantung kerja

Tahanan lolos: Anggota polis IPD Klang Utara digantung kerja

SHAH ALAM, 26 Ramadan 1438H, Rabu – Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara digantung kerja kerana kecuaiannya menyebabkan seorang suspek kes samun dan rogol meloloskan diri daripada tahanan Isnin lepas, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat.

Beliau berkata, ​​​​​​walaupun terdapat beberapa kelemahan pada reka bentuk bangunan IPD berkenaan yang hanya bertapak di lot rumah kedai dua tingkat, namun kecuaian ketara anggota polis berkenaan lebih membuka peluang kepada suspek untuk melarikan diri.

Menurut Abdul Samah, pihaknya membuka dua kertas siasatan iaitu terhadap tahanan lelaki terbabit dan juga anggota polis berkenaan bagi mendapatkan punca utama kes itu boleh berlaku.

“Siasatan awal mendapati wujud aspek cuai anggota terlibat dan ia adalah kecuaian yang sangat-sangat jelas menyebabkan suspek ada ruang, peluang dan masa untuk lari dari tandas ketika itu.

“Ada dua aspek kecuaian nyata yang disiasat iaitu oleh anggota atau pegawai yang diberi tanggungjawab menjaga tahanan dan juga dari sudut infrastruktur, namun hal bangunan ini sedang kita atasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek dipercayai warga asing yang ditahan atas kesalahan samun dan rogol meloloskan diri melalui tingkap tandas di IPD Klang Utara apabila berpura-pura mahu membuang air kecil.

Semasa insiden berkenaan, suspek masih dalam tempoh reman selama tujuh hari sehingga semalam.

Bagaimanapun katanya, suspek yang melarikan diri hingga ke Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini diberkas kembali awal pagi semalam apabila cubaannya untuk mencabul seorang gadis 14 tahun setelah memecah masuk rumah pelajar itu disedari keluarganya.

“Akibat terkejut melihat suspek berada di dalam rumahnya, gadis terbabit yang bangun untuk bersahur menjerit menyebabkan dua abangnya tersedar dan terus mengejar suspek serta menghubungi polis menyebabkan dia berjaya ditangkap semula,” katanya.

Beliau berkata suspek lelaki berumur 27 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 354, 448 dan 353 Kanun Keseksaan selain Seksyen 223/224 kanun yang sama kerana melarikan diri daripada tahanan polis.

Terdahulu, Abdul Samah menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor yang baharu iaitu SAC Sulaiman Salleh yang menggantikan SAC Che’ Man Md Dros, yang bersara wajib.- Bernama

The post Tahanan lolos: Anggota polis IPD Klang Utara digantung kerja appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tahanan lolos: Anggota polis IPD Klang Utara digantung kerja
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Tahanan lolos: Anggota polis IPD Klang Utara digantung kerja"

Back To Top