Gema Semua Maklumat

Undang-undang Islam tetap berkuasa walaupun dalam darurat

Undang-undang Islam tetap berkuasa walaupun dalam darurat

BANGI, 14 Ramadan 1438H, Jumaat – Meskipun terjadinya perkara paling tidak diingini dalam negara, iaitu darurat, undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan, ia berikutan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memetik salah satu kategori hak yang telah disenarikan Shad Saleem Faruqi dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hak yang dilindungi walaupun dalam darurat.

“Perkara 150(6A) menegaskan terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak-hak tersebut adalah berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan dengan bahasa.

“Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

“Natijah dari kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai,” katanya.

Malah, katanya, undang-undang Islam seharusnya menjadi standard yang menambat undang-undang lain daripada dihakis.

“Ini adalah kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat, undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

“Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

“Ini bermakna, mahkamah syariah masih boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Justeru, beliau mengingatkan, adalah penting bagi rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui hak-hak mereka yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan mengikut skema atau kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat Malaysia. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara,” katanya.

The post Undang-undang Islam tetap berkuasa walaupun dalam darurat appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Undang-undang Islam tetap berkuasa walaupun dalam darurat
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Undang-undang Islam tetap berkuasa walaupun dalam darurat"

Back To Top