Gema Semua Maklumat

1MDB: Rakyat hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan

1MDB: Rakyat hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan

BANGI, 9 Syawal 1438H, Isnin – Kegagalan institusi penguatkuasaan negara untuk menyiasat dan bersikap telus dalam skandal 1MDB telah membuka ruang kepada pihak lain yang sudi melakukan siasatan, termasuk Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Tidak percaya bahawa pasukan penyiasat Malaysia begitu lemah berbanding DoJ, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan apakah sistem penguatkuasaan negara sekarang ini telah dirosakkan kerana ingin mempertahankan mereka yang berkuasa.

Sehubungan itu, PAS mengecam kegagalan sistem penguatkuasaan negara kerana gagal bertindak secara berdikari.

Laporan audit terhadap 1MDB kini masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. SPRM dengan mudahnya menolak kes 1MDB dan berkata ia di bawah siasatan polis. Polis pula berkata kes ini sedang disiasat tanpa ada tempoh waktu yang tetap untuk menyiapkan siasatan.

“Bila siasatan dalaman negara terhadap isu 1MDB akan selesai? Bila laporan audit 1MDB akan didedahkan? Bila Jho Low akan disoal siasat?

“DOJ telah memulakan pendakwaan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB tapi pihak penguatkuasaan negara berkata isu ini masih di peringkat siasatan, sedangkan skandal ini sudah lama berlaku.

“Macam mana boleh siasatan dalam negara terhadap kes yang berlaku di dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara? Tidak malukah kita? Bukan ini menghakis keyakinan rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua pihak yang diharapkan rakyat untuk bertindak dalam isu 1MDB telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes untuk didakwa, tetapi Bank Negara Malaysia menyatakan mereka tiada kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap 1MDB, bukannya tiada kes.

Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini Peguam Negara pula tetap berkata tiada bukti, sedangkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah mengesahkan bahawa denda yang dikenakan kepada badan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB mungkin adalah yang tertinggi dalam sejarah.

Kesannya, beliau berkata, apabila DoJ mengeluarkan laporan siasatan dan pendakwaan sivilnya yang melibatkan 1MDB, ia amat menarik perhatian rakyat kita sendiri.

“1MDB bertegas bahawa wang mereka tidak hilang, masih ada samada dalam bentuk aset, atau pelaburan. Namun DOJ menyatakan berlaku ‘money laundering’ yang bersumber dari dana 1MDB. Siapa yang betul?

“Oleh kerana pihak penguatkuasaan kita gagal bertindak, maka rakyat kini menunggu perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat apabila beberapa nama yang dikaitkan akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

“Jangan pula nanti ada yang tidak percaya kepada keputusan di mahkamah Amerika Syarikat. Jangan kita rasa adil bila hanya ia sesuai dengan kehendak kita, manakala kalau berlaku sebaliknya kita menentang dan menyatakan ianya tidak adil. Mahkamah bukan diwujudkan bagi membenarkan apa yang kita dakwa,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, oleh kerana rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan negara dalam isu 1MDB, maka PAS mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil yang turut disertai pihak pembangkang diwujudkan bagi menyiasat dan membentang ‘ kertas putih’, berhubung isu 1MDB.

“Isu ini perlu diselesai di dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atas isu ini. Diharap semua pihak dapat melobi agar RCI diadakan secepat mungkin untuk 1MDB.

“Rakyat perlu yakin kepada seluruh institusi negara, terutamanya institusi penguatkuasaan dan institusi Kehakiman yang bertanggungjawab mempastikan peraturan negara dipatuhi oleh semua termasuk pemimpin terbesar negara tanpa pengecualian sedang berjalan dengan adil dan berfungsi dengan baik.

“Kegagalan mana-mana sistem ini untuk bertindak secara berdikari akan mendedahkan negara kepada situasi yang bahaya bagi negara kerana ia akan mencabut keyakinan rakyat kepada sistem negara,” katanya.

The post 1MDB: Rakyat hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 1MDB: Rakyat hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "1MDB: Rakyat hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan"

Back To Top