SANDAKAN, 19 Syawal 1438H, Khamis – Pencapaian umum menunjukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan belum digunakan secara meluas sebagai bahasa rasmi, berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia, kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Asmiah Ajamain.
Beliau berkata, penggunaan bahasa kebangsaan itu masih rendah dalam bidang amalan industri dan profesional dan keadaan itu perlu dibetulkan.
“Sesudah setengah abad kita merdeka, sepatutnya tidak timbul soal perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Yang penting ialah soal pengisian, pemartabatan, peningkatan maruah dan meluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai asas tamadun bangsa dan negara,” katanya pada majlis perasmian Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Sekolah Menengah (SM) Persendirian Cina peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail.
Asmiah berkata, untuk tujuan itu, DBP telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani kemelut tersebut
Dalam hal ini, beliau berkata, pertandingan forum pelajar itu merupakan satu daripada wadah digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
Katanya, gelombang globalisasi perlu dimanfaatkan untuk terus menyemarakkan bahasa kebangsaan agar terus unggul dalam kalangan generasi muda yang bakal menerajui negara.
“Kita perlu terus memastikan bahasa kebangsaan kita tidak turun darjatnya menjadi bahasa lokal sifatnya atau digunakan oleh sejumlah khalayak sahaja,” katanya.
Dalam pertandingan yang disertai sembilan buah sekolah itu, Sekolah Menengah Shung Tsin, Kota Kinabalu dinobatkan juara pertandingan forum pelajar, manakala deklamasi sajak dimenangi oleh Lee Chun Lian daripada Sekolah Menengah Tinggi Cina Tawau.
Mereka akan mewakili Sabah pada pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan depan. – Bernama
The post Bahasa Melayu belum diguna secara meluas: Pengarah DBP Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bahasa Melayu belum diguna secara meluas: Pengarah DBP Sabah
0 Komentar untuk "Bahasa Melayu belum diguna secara meluas: Pengarah DBP Sabah"