KUALA LUMPUR, 7 Zulkaedah 1438H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Çikgu Aming’ yang memuat naik satu laporan portal kononnya suruhanjaya itu mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Menurut sumber SPRM, laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai suruhanjaya berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada pukul 12 tengah hari semalam.
Semalam, pemilik akaun Facebook berkenaan memuat naik laporan portal yang bertajuk ‘SPRM sahkan skandal Jabatan Air Negeri Sabah tiada unsur rasuah’.
Dalam satu kenyataan semalam, SPRM menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa dakwaan yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu tidak benar sama sekali dan mengelirukan masyarakat.
Berhubung kes berkenaan, SPRM dalam kenyataan itu menarik perhatian bahawa pada 29 Dis 2016, tiga individu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta, selain memiliki secara salah barangan mewah dan sebutan kes tersebut telah ditetapkan pada 8 Ogos ini.
SPRM berkata, ketiga-tiga tertuduh ialah bekas Pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Ag Piut serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng.- Bernama
The post Dakwaan ‘bersihkan’ kes JANS, SPRM buat laporan polis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Dakwaan ‘bersihkan’ kes JANS, SPRM buat laporan polis
0 Komentar untuk "Dakwaan ‘bersihkan’ kes JANS, SPRM buat laporan polis"