DOHA, 7 Zulkaedah 1438H, Isnin – Doha menafikan laporan media Arab Saudi yang mendakwa bahawa negara itu dan sekutunya membenarkan pesawat Qatar menggunakan koridor udara dalam kecemasan, sekali gus menyifatkannya sebagai maklumat palsu.
Menurut agensi berita QNA, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi serta pihak berkuasa penerbangan Qatar menafikan bahawa Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain mengambil keputusan itu.
Sebelum ini, agensi berita SPA, memetik satu kenyataan dari pihak berkuasa penerbangan Saudi (GACA) mendakwa empat negara bersekutu itu akan membenarkan pesawat Qatar menggunakan koridor udara dalam kecemasan.
“Sembilan koridor telah dikenalpasti termasuk satu di ruang udara antarabangsa di laut Mediterranean yang akan dipantau oleh pihak berkuasa Mesir,” kata SPA.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan perbincangan khas atas permintaan Qatar untuk membincangkan pembukaan semula ruang udara Teluk.
Koridor udara dikenal pasti di bawah pengawasan ICAO, kata kenyataan Saudi.
Serentak itu, Qatar menggesa negara-negara bersekutu berkenaan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu menjelang mesyuarat ICAO di Montreal pada Isnin.
ICAO boleh bertindak menyelesaikan permasalahan yang dibentangkan oleh Qatar, tetapi campur tangan sedemikian jarang berlaku dan memakan masa kerana agensi itu biasanya merundingkan perselisihan melalui persetujuan.- Agensi
The post Qatar nafi laporan Arab Saudi dakwa sekutu benar guna koridor udara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Qatar nafi laporan Arab Saudi dakwa sekutu benar guna koridor udara
0 Komentar untuk "Qatar nafi laporan Arab Saudi dakwa sekutu benar guna koridor udara"