KUALA LUMPUR, 17 Syawal 1438H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) disyaki menyeleweng RM4 juta milik agensi itu.
Suspek yang berusia 76 tahun dan 43 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dilancarkan SPRM Melaka selepas disyaki menyalah guna kuasa meluluskan pemindahan wang milik MISDEC ke akaun peribadi antara 2014 hingga 2015.
Berdasarkan siasatan awal SPRM mendapati wang berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat milik dua beranak itu melalui beberapa keping cek.
Memetik Berita Harian, sumbernya dilaporkan berkata, SPRM menyita hampir RM600,000 dalam sebuah akaun syarikat dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai RM350,000.
“MISDEC adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia serta Kerajaan Negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri dan memperuntukkan RM4.5 juta bagi tujuan latihan.
“Namun sehingga kini, siasatan mendapati tiada sebarang latihan dilaksanakan. Malah kedua-dua suspek itu turut dipercayai menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat terbabit bagi tujuan peribadi,” kata sumber.
Penahanan dua suspek terbabit disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dan berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti. Dua beranak terbabit dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok untuk direman bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
The post Dua beranak ditahan seleweng RM4 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Dua beranak ditahan seleweng RM4 juta
0 Komentar untuk "Dua beranak ditahan seleweng RM4 juta"